SEORANG bapa warga Bangladesh yang dikenali sebagai “‘orang pokok” kerana terdapat ketumbuhan seperti kulit pokok pada badannya kembali ke hospital pada Ahad selepas keadaannya bertambah teruk, katanya kepada AFP.
Abul Bajandar menjalani 25 pembedahan sejak 2016 untuk membuang ketumbuhan di tangan dan kakinya di Hospital Kolej Perubatan Dhaka.
Doktor hampir mengumumkan kejayaan rawatan mereka sebelum ia tiba-tiba tumbuh kembali hingga menyebabkan Bajandar melarikan diri daripada klinik pada Mei tanpa memberitahu kakitangan.
Tetapi pada Ahad beliau dimasukkan semula ke hospital selepas keadaannya semakin merosot, dengan ketumbuhan kini hampir memenuhi keseluruhan tangan dan kakinya, kata lelaki berusia 28 tahun tersebut.
“Saya membuat kesilapan dengan meninggalkan hospital. Saya ingin mendapatkan rawatan alternatif tetapi tidak berjaya. Saya kini faham saya perlu tinggal dan meneruskan rawatan di sini,” kata Bajandar.
Samanta Lal Sen, pakar bedah plastik di hospital, berkata doktor akan meneruskan rawatan “tidak lama lagi”, sambil menambah ketumbuhan itu sudah merebak ke bahagian lain tubuhnya.
“Saya meminta Bajandar kembali secepat mungkin. Kami kini perlu bermula dari awal semula. Kami perlu melakukan lebih banyak pembedahan,” kata Sen kepada AFP.
Perdana Menteri Sheikh Hasina menjanjikan rawatan percuma untuk Bajandar selepas keadaannya meraih simpati negara.
Beliau tinggal di kabin persendirian yang mahal bersama isteri dan anak perempuannya selama hampir dua tahun semasa pusingan rawatan pertamanya.
Bapa yang menderita akibat epidermodysplasia verruciformis adalah keadaan genetik yang sangat jarang ditemui yang juga dikenali sebagai “sindrom orang pokok”.
Hospital itu juga pernah dirawat seorang gadis Bangladesh yang mengalami keadaan sama pada 2017.
Doktor mengisytiharkan pembedahannya berjaya, tetapi bapanya kemudian berkata ketumbuhan bertambah dengan jumlah lebih banyak, menyebabkan keluarga menghentikan rawatan dan kembali ke kampung mereka. – AFP, 20 Januari, 2019.
Komen