Wanita Iran berarak, desak AS bebaskan Hashemi


Wartawan Iran kelahiran AS Marzieh Hashemi ditahan ketika pulang ke Amerika untuk melawat keluarganya, menimbulkan kecaman Iran. – Gambar EPA, 20 Januari, 2019.

BERPULUH wanita mengadakan tunjuk perasaan di Tehran semalam mendesak pembebasan seorang wartawan stesyen TV Iran yang ditahan Amerika Syarikat.

Penunjuk perasaan membawa gambar Marzieh Hashemi pada tunjuk perasaan di depan Kedutaan Switzerland yang mengendalikan kepentingan AS di republik Islam itu.

Hashemi yang dilahirkan di AS bekerja untuk Press TV, stesyen TV berbahasa Inggeris di Iran ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa St Louis pada 13 Januari, menurut ahli keluarga dan sahabatnya seperti dipetik Press TV.

Hashemi, yang selepas memeluk Islam mengubah namanya daripada Melanie Franklin dilaporkan hendak melawat abangnya yang sakit dan ahli keluarganya di AS.

Sebuah mahkamah AS pada Jumaat mengesahkan penahanan itu, berkata yang Hashemi diperlukan untuk siasatan sebuah kes jenayah tetapi beliau bukan seorang suspek.

Penunjuk perasaan di Tehran, termasuklah pelajar dan anggota wanita militia Basij melaungkan slogan seperti “kami semua Marzieh” dan membawa sepanduk bertanda #FreeMarziehHashemi.

“Kami menuntut beliau dibebaskan serta merta dan diserahkan kepada keluarganya dalam kesihatan penuh,” kata seorang penunjuk perasaan Minaeepour kepada AFP.

Menteri Luar Iran Javad Zarif pada Khamis menyifatkan penahanan itu adalah “tindakan politik” AS yang “menindas kebebasan bersuara” dan mendesak wartawan itu dibebaskan segera.

Zarif berkata memandangkan Hashemi berkahwin dengan warga Iran, beliau dianggap rakyat Iran dan “jadi tanggungjawab kami untuk mempertahankan warga kami”. – AFP, 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen