Azmin jamin Pakatan akan terus berikan khidmat


Sheridan Mahavera

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata apa juga pilihan pengundi pada PRK hujung minggu ini tidak akan menjejaskan apa-apa ketika melawat penduduk Felda di Cameron Highlands hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Januari, 2019.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) akan terus berkhidmat kepada peneroka Felda di Cameron Highlands walaupun jika mereka tidak memilihnya pada pilihan raya kecil (PRK) hujung minggu depan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Jaminan itu dibuat Azmin, yang kementeriannya menyelia agensi pembangunan tanah yang bermasalah, dibuat ketika PH berusaha menembusi tiga penempatan utama Felda di kawasan Parlimen.

“Bukan tujuan saya berjanji kepada peneroka supaya mempengaruhi mereka mengundi pada PRK yang akan datang. Sesiapa yang anda pilih, kerajaan akan terus berkhidmat di Felda,” katanya kepada peneroka di Sungai Koyan 2 hari ini.

“Walaupun Felda berhutang sebanyak RM8 bilion, kita masih akan melihat masalah perumahan dan bantuan pendidikan. Kami akan memastikan Felda diuruskan oleh para profesional, bukannya ahli politik yang membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik,” katanya kepada kira-kira 20 peneroka yang terlibat dalam projek perumahan terbengkalai.

Projek yang melibatkan 140 rumah untuk anak-anak peneroka, terbengkalai sejak dua tahun lalu.

Kira-kira 24 buah rumah tidak mempunyai meter elektrik manakala kira-kira 80 dibina di atas tanah yang mendap.

“Sekiranya anda mahu saya memberitahu anda bahawa saya boleh selesaikan masalah ini dalam masa satu minggu, saya tidak akan melakukannya kerana ini boleh dianggap sebagai rasuah pilihan raya. Tetapi saya memberi jaminan kepada anda bahawa pihak pengurusan akan mengkaji masalah dan menyelesaikannya dalam tempoh yang munasabah.”

Projek itu katanya, adalah satu masalah yang diwarisi oleh PH daripada kerajaan sebelumnya, Barisan Nasional (BN).

Azmin menambah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menghapuskan hutang peneroka yang dianggap “tidak munasabah”, seperti yang diambil untuk membiayai pembelian baja import dan membina jalan kampung.

“Kita juga akan melihat kadar faedah hutang ini kerana ia terlalu tinggi dan menjadi beban kepada mereka.”

Beliau juga menegaskan PH tidak pernah berjanji untuk menghapus semua hutang peneroka, tetapi yang dianggap tidak munasabah.

“Pinjaman adalah sesuatu yang dipersetujui oleh dua pihak. Kita sebagai umat Islam sepatutnya membayar hutang kita. Apa yang kami janjikan adalah untuk menghapuskan hutang yang tidak wajar.” –  20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen