LELAKI tertua dunia, Masazo Nonaka yang lahir dua tahun selepas adik beradik Wright menerbangkan pesawat pertama buatan manusia, meninggal dunia pada usia 113 tahun hari ini, lapor media Jepun.
Nonaka dilahirkan pada Julai 1905, menurut Guinness World Records- beberapa bulan sebelum Albert Einstein menerbitkan teori relativitinya.
Pegawai Guinness mengiktiraf Nonaka selaku lelaki tertua selepas kematian Francisco Nunez Olivera dari Sepanyol tahun lepas.
“Kami sangat terkejut dengan kehilangan tokoh besar ini. Semalam, beliau seperti biasa dan meninggal dunia tanpa menyusahkan kami sekeluarga langsung,” kata cucu perempuannya Yuko kepada Kyodo News.
Nonaka mempunyai enam abang dan seorang kakak, berkahwin pada 1931 dan mempunyai lima anak.
Beliau menguruskan sebuah pusat air panas di bandar asalnya dan ketika bersara gemar menonton pertandingb sumo di TV dan makan manisan, menurut laporan media.
Japan adalah salah sebuah negara dunia dengan jangka hayat penduduknya paling tinggi dan beberapa warganya diiktiraf sebagai antara tertua dunia.
Ini termasuklah Jiroemon Kimura, lelaki paling lama hidup yang meninggal dunia pada usia 116 tahun tidak lama selepas hari kelahirannya pada Jun 2013.
Setakat ini rekod manusia paling lama hidup dipegang wanita- Jeanne Louise Calment dari Perancis- yang meninggal dunia pada 1997 pada usia 122 tahun, menurut Guinness. – AFP, 20 Januari, 2019.
Komen