PIHAK yang mengkritik tindakan Ketua Hakim Negara Richard Malajum dan Peguam Negara Tommy Thomas menari dalam majlis sosial perundangan perlu berhenti bersikap fikiran sempit dan ultra konservatif, kata Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Mah Weng Kwai.
Katanya, rakyat perlu mampu membezakan hubungan peribadi dan tanggungjawab profesional.
“Saya rasa sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengubah pemikiran sempit dan ultra konservatif kita kepada pertukaran interaktif hubungan di majlis sosial,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Bukannya CJ berpimpin tangan dengan AG dan menari bersama-sama dalam kelab malam,” sindirnya.
Beliau mengulas kritikan dihadapi Malanjum kerana menari dengan Thomas serta peguam yang dianggap “pro-Pakatan Harapan” seperti Ambiga Sreenevasan dan Siti Kasim.
“Bukan mereka berdua je yang menari, satu kumpulan yang naik pentas dan menikmati musik itu.
“Jadi untuk kata mereka tak beretika dan tak profesional tak betul lah,” katanya.
Majlis makan malam itu dianjurkan Persatuan Undang-Undang Sabah sempena pembukaan tahun baharu perundangan 2019 di Kota Kinabalu.
Mah yang turut berada di majlis tersebut berkata ia majlis yang meriah dan peluang yang bagus untuk berjumpa semua pihak berbeza dalam dunia perundangan.
“Bagus untuk lihat AG dan semua orang bersama-sama di luar pejabat.
“Rakyat perlu mampu bezakan apa yang berlaku dalam majlis sosial berbanding apa yang rasmi dalam mahkamah dan pejabat.”
Mah yang juga pesuruhjaya Suhakam berkata beliau tidak mengetahui sumber maklumat pihak yang mengecam kejadian tersebut, yang katanya menyimpang jauh daripada kejadian sebenar.
“Saya tak nampak bagaimana bantahan kepada pelbagai pihak bersama-sama dan menikmati majlis sosial boleh wujud. Ini patutnya dilihat salah satu aspek ‘bekerja bersama-sama’.” – 20 Januari, 2019.
Komen