Abu Bakar Baasyir enggan ikrar setia pada Pancasila


Abu Bakar Baasyir diiringi polis semasa perbicaraan pada 2016. Beliau akan dibebaskan minggu ini jika berikrar setia kepada Pancasila. – Gambar EPA, 20 Januari, 2019.

ABU Bakar Baasyir yang akan dibebaskan minggu ini enggan berikrar setia kepada Pancasila sebaliknya menegaskan setianya hanya pada Islam, lapor media di Indonesia.

Abu Bakar juga enggan menandatangani dokumen pembebasan bersyarat yang antara lain menyebut taat kepada Pancasila, ideologi dasar lima perkara bagi republik itu, sama seperti Rukunegara.

Syarat itu kemudian dipinda kepada “taat kepada Islam”, kata penasihat undang-undang kepada Presiden Joko Widodo, Yusril Ihza Mahendra yang terlibat dalam urusan pembebasan Abu Bakar.

“Yang harus ditandatangi Pak Ba’asyir agak berat bagi beliau kerana beliau punya keyakinan yang dipatuhi hanya Allah, hanya Tuhan dan beliau menyatakan hanya taat kepada Islam.

“Jadi kalau saya diminta tanda tangan taat kepada Pancasila, saya tak mau, (katanya)”, kata Yusril, seperti dipetik portal berita BBC Indonesia.

“Beliau hanya ingin taat kepada Islam dan kita memahaminya…Tak ada pertentangan antara Islam dan Pancasila dan tak mau berdebat panjang dengan Pak Ba’asyir,” katanya lagi.

Yusril sebelum itu bertemu dengan Abu Bakar di tempat beliau ditahan Bogor.

Abu Bakar, 81, sudah menjalani lebih dua pertiga dari tempoh 15 tahun hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya pada 2011. Beliau dihukum selepas sabit tuduhan menaja latihan teroris di Aceh dan mendukung keganasan di Indonesia.

Beliau juga didakwa dalang utama serangan bom di Bali pada Disember 2002 yang membunuh 202 orang, 88 daripadanya rakyat Australia.

Abu Bakar ditahan di Nusakambangan, Cilacap sebelum dipindahkan ke Bogor atas alasan tahap kesihatannya yang menurun.

Berita pembebasannya mendapat reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk keluarga mangsa serangan bom di Indonesia manakala dalam kalangan ahli politik menyifatkannya sebagai langkah berbaur politik.

Indonesia akan mengadakan pemilihan presiden April ini, dengan Jokowi yang mengintai penggal kedua sekali lagi dicabar Prabowo Subianto.

Selepas dibebaskan nanti, ulama yang sebelum ini dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah dilaporkan akan tinggal di rumah anak lelakinya di sebuah pesantren di Sukoharjo, lebih 500 kilometer dari Jakarta, untuk lebih banyak berehat. – 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen