AHLI keluarga Abu Bakar Baasyir siap sedia menyambut kepulangan ulama itu yang dijadual dibebaskan sebelum Khamis ini, lapor agensi berita Antara.
Abu Bakar dihukum penjara 15 tahun sejak 2011 bakal dibebaskan selepas menjalani dua petiga tempoh hukuman, selain faktor kemanusiaan kerana uzur dan tidak sihat. Umurnya kini 81 tahun.
“Keluarga sangat bergembira dengan pembebasan Ustaz Abu Bakar Baasyir. Ini merupakan nikmat besar yang harus kami syukuri,” kata anak lelakinya, Abdul Rochim, seperti dipetik Antara hasil pertemuan di Pondok Pesantren Al-Mukmin Ngruki, di Sukoharjo, lebih 500 kilometer dari Jakarta.
Abdul Rochim juga dipetik berkata pihak keluarga merancang mengadakan kenduri doa selamat untuk menyambut pembebasan tersebut.
Berita pembebasan Abu Bakar itu dimaklumkan kepada keluarga oleh Yusril Ihza Mahendra, penasihat undang-undang kepada Presiden Joko Widodo.
Beliau juga berkata pembebasan ayahnya itu adalah tanpa syarat.
Abu Bakar dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun pada 2011 atas dakwaan menaja kem latihan pengganas di Aceh. Beliau juga didakwa dalang utama serangan bom di Bali pada Disember 2002 yang membunuh 202 orang, 88 daripadanya rakyat Australia.
Berita pembebasannya mendapat reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk keluarga mangsa serangan bom di Indonesia manakala dalam kalangan ahli politik menyifatkannya sebagai langkah berbaur politik.
Indonesia akan mengadakan pemilihan presiden April ini, dengan Jokowi yang mengintai penggal kedua sekali lagi dicabar Prabowo Subianto.
Selepas dibebaskan nanti, ulama yang sebelum ini mengetuai Jemaah Islamiyah dilaporkan akan tinggal di rumah Abdul Rochim di komplek pesantren itu, untuk lebih banyak berehat.
“Keadaaanya sudah tua sehingga kegiatan dakwah tidak seperti sebelumnya. Beliau akan banyak istirahat di rumah,” katanya.
Pada Mac tahun lalu, Abu Bakar yang uzur pernah diusul dipindahkan agar lebih dekat dengan tempat keluarganya. – 20 Januari, 2019.
Komen