Tak ada kesalahan di majlis sosial, kata persatuan peguam Sarawak


Bede Hong

Tahun perundangan untuk Sabah dan Sarawak disambut meriah setiap tahun, malangnya tahun ini ia jadi kontroversi disebabkan video tari menari melibatkan peguam dan hakim tertinggi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2019.

PERSATUAN Peguam Bela Sarawak (AAS) hari ini turut menyuarakan pandangan yang tidak ada kesalahan dilakukan dalam majlis sosial di Kota Kinabalu pada malam Jumaat lalu, menyokong pandangan disuarakan rakan mereka di Sabah.

“Kami mengulangi pandangan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan menolak mana-mana cadangan ketidaksopanan seperti diluahkan sesetengah pihak mengenai video ahli badan perundangan yang menari di atas pentas,” kata Presiden AAS Ranbir Sngh Sangha dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia dilakukan dalam hasrat baik dan kami mengucapkan tahniah kepada tuan rumah kerana buat kerja dengan baik,” katanya.

Semalam, Presiden SLS Brenndon Soh dalam kenyataan berkata penglibatan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri Undang-Undang dalam majlis sosial tersebut bukanlah bermakna mereka tidak bebas.

“Sangat menyedihkan untuk komuniti perundangan jika ahli merasakan terhalang daripada menari di majlis tahunan seperti OLY 2019 kerana kritikan tidak berasas,” katanya. 

Ranbir berkata majlis makan malam itu adalah sambutan tradisi di Sabah dan Sarawak, apatah lagi dengan enam bulan terakhir tahun lepas menyediakan “banyak sebab untuk keraian” badan perundangan disebabkan “banyak perubahan perundangan.”

“Kami sepakat dengan presiden SLS yang majlis itu diadakan sebagai kemuncak kematangan komuniti perundangan dan sama kecewa seperti SLS dengan pihak tertentu yang cuba menyalah tafsir majlis sosial dan harmoni gambaran keramahan Malaysia Barat dan mempolitikkannya untuk apa sahaja sebab,” kata Ranbir.

“Mereka yang mengecam mungkin tak tahu tentang moral dan etika yang secara budayanya dijunjung tinggi di Malaysia Barat dalam majlis sebegitu.”

Ranbir juga berharap badan perundangan “tidak akan dikekang oleh kritikan yang tidak perlu dan bermakna untuk menari (lagi) di majlis tahunan begitu… pada masa depan.”

Beliau menambah ASS juga akan menjemput Malanjum, Thomas dan hakim kanan lain untuk masuk pertandingan menari pada majlis makan malam pembukaan tahun perundangan baharu Sarawak tahun depan.

Pembukaan tahun perundangan Sabah dan Sarawak berbeza daripada yang dianjurkan di Semenanjung Malaysia kerana Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak berada di bawah bidang kuasa berbeza berbanding Mahkamah Tinggi Malaya.

Sabah dan Sarawak bergilir menjadi tuan rumah untuk majlis pembukaan itu, tahun ini di Kota Kinabalu dan pada 2018 majlis diadakan di Miri. – 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen