Nik Nazmi dikecam pengguna media sosial 


Bede Hong

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dikecam kerana membandingkan tarian dengan perkahwinan kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2019

AHLI Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dikecam di media sosial kerana membandingkan antara tradisi melibatkan pembukaan tahun perundangan dengan perkahwinan kanak-kanak.

Antara yang mengkritik beliau adalah rakan partinya, Latheefa Koya, yang mempersoalkan mengapa beliau membuat perbandingan itu.

Nik Nazmi dikecam ramai selepas membuat kenyataan berhubung tarian pentas melibatkan beberapa personaliti kehakiman dan perundangan termasuk Ketua Hakim Richard Malanjum dan Peguam Negara Tommy Thomas, pada majlis pembukaan tahun perundangan di Kota Kinabalu Jumaat lalu.

Beliau menyifatkan ia adalah biasa bagi tradisi profesion guaman.

“Isu saya bukan tentang tarian, tetapi kerana tidak mengekalkan jarak profesional antara cabang berbeza,” kata Nik Nazmi menerusi Twitter. 

“Ya, ianya tradisi. Tetapi begitu juga dengan perkahwinan kanak-kanak di beberapa bahagian di Malaysia. Kita mahu ubahnya bukan? Tradisi tidak statik dan ia mesti mengikut peredaran zaman.”

Komen berkenaan menerima kritikan termasuk daripada ahli jawatankuasa pusat PKR Latheefa.

“Sampah - membandingkan tradisi badan peguam dengan PERKAHWINAN KANAK-KANAK? Apa masalah kamu?,” katanya menerusi Twitter membalas kenyataan berkenaan.

Pengguna Twitter Mr Han turut mengulas: “Yeaa kenapa bandingkan perkahwinan kanak-kanak dengan tarian? Perkahwinan kanak-kanak adalah jenayah. Menari antara hakim, peguam dan AG sama seperti kontraktor menari dengan pegawai kerajaan dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).”

Nik Nazmi juga berkata, tradisi itu perlu diubah: “Lagipun, pembangkang terdahulu pernah mengkritik BN sebelum ini dalam banyak acara/insiden kerana tidak kekalkan jarak profesional. Rakyat mengundi untuk perubahan, kerana mereka menjangkakan kita berpegang kepada standard lebih tinggi.

“Sekurang-kurangnya, kita perlu konsisten dengan kritikan kita pada masa lalu. Sebagaimana R v Sussex Justices, ex p McCarthy kata: Keadilan bukan sahaja dilihta, ia juga perlu dilakukan.”

Barathi Selvam menjawab: “Perkahwinan kanak-kanak dengan sekumpulan orang mnari tidak sama. Kamu antara orang yang kita percaya untuk pimpin negara. Sedih.”

Pengguna Twitter Yongcb berkata: “Hujah kamu tidak bijak, gunakan perkahwinan kanak-kanak sebagai contoh.”

Seorang lagi pengguna, Jumbaba82 berkata: “Sebab itulah kamu tidak boleh jadi pemimpin arus perdana”, sementara Domesticgod8 berkata: “Menari = perkahwinan kanak-kanak??! #Psycho alert!!!!!!! Hubungi polis!!”

Semalam, Nik Nazmi berkata anggota kanan badan kehakiman dan eksekutif perlu jaga bagaimana mereka bergaul dengan orang ramai.

“Nak menari dalam acara peribadi soal tuan punya badan. Tetapi dalam acara rasmi, tokoh kehakiman dan eksekutif kena jaga imej kebebasan dan integriti institusi kehakiman.

“Pada 2016 kita pernah persoal Peguam Negara ketika itu (Mohamed Apandi  Ali) dan menteri menari di acara Merdeka, kita perlu konsisten,” kata Nik azmi menerusi Twitter semalam. – 20 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen