16,000 liter diesel diagih kepada pelarian Syria


Bekalan diesel amat penting untuk pelarian Syria ketika musim sejuk sebagai bahan bakar pemanas badan. – Gambar EPA, 20 Januari, 2019.

LEBIH 800 keluarga pelarian Syria di zon konflik itu menerima 16,000 liter diesel sumbangan rakyat Malaysia bagi kegunaan musim sejuk semalam.

Bekalan bahan api, sebanyak 20 liter setiap keluarga itu, disalurkan melalui misi musim sejuk 3.0 Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) di dua kem pelarian di Jarabulus, Syria.

Tim MVM-GPM yang masuk ke Syria melalui pintu sempadan Karkamis dikuasai Turki sejak 18 Jan lalu, menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia pertama menyampaikan bantuan di kem pelarian Al Saraya dan Al Zaugharah di Jarabulus.

Sukarelawan GPM, Hasrol Sazli Abdul Khail berkata bekalan diesel amat penting untuk pelarian ketika musim sejuk sebagai bahan bakar pemanas badan.

“Bekalan bahan api diesel 20 liter ini mampu bertahan hingga sebulan,” katanya kepada wakil Bernama yang mengikuti misi musim sejuk selama 10 hari sejak 16 Jan lalu.

Cuaca sejuk melebihi paras beku amat mencengkam kehidupan pelarian Syria di Gaziantep dengan laporan media sebelum ini, menyatakan ada kanak-kanak terkorban kerana cuaca sejuk melampau.

Presiden MVM, Muhammad Jantan pula bersyukur fasa pertama misi itu untuk menyalurkan bantuan di dalam Syria tercapai.

“Fasa kedua akan diteruskan dengan bantuan kit musim sejuk kepada keluarga pelarian di sempadan Turki-Syria,” katanya.

MVM masih berusaha untuk mengumpulkan dana bagi membantu lebih 13,500 pelarian sasaran di Turki-Syria. Mana-mana pihak ingin membantu boleh ke Facebook Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan GPM.

Konflik perang saudara di Syria sejak Mac 2011 mengorbankan lebih setengah juta warga Syria dengan lebih 13 juta pelarian terjejas dan memerlukan bantuan segera. – 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen