MENTERI wanita Australia umum akan bersara politik ketika kerajaan campuran negara itu dituduh tidak mempunyai wakil wanita yang memadai.
Menteri kabinet Kelly O’Dwyer - merupakan ahli politik wanita terbaru yang berundur daripada kerajaan gabungan Liberal National - berkata, beliau tidak akan bertanding semula pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka berlangsung pada Mei.
Hanya beberapa bulan yang lalu, O’Dwyer dilaporkan oleh media Australia, memberi amaran dalam satu pertemuan tertutup bahawa parti Liberal dilihat secara meluas oleh para pengundi sebagai “homofobia, anti-wanita, menafikan perubahan”.
O’Dwyer - yang merupakan salah seorang daripada 23 wanita pemimpin utama gabungan itu - berkata beliau membuat keputusan itu atas sebab peribadi yang mana beliau mahu luangkan lebih banyak masa bersama anak-anaknya.
“Akan ada pihak yang cuba pergunakan pengumuman saya hari ini untuk agenda mereka sendiri dan saya tidak mahu ia berlaku,” katanya kepada pemberita.
Keputusan mengejut ahli Parlimen kanan itu merupakan satu tamparan hebat kepada Perdana Menteri Scott Morrison dan parti gabungannya, yang sudahpun menerima kritikan berhubung kekurangan kepelbagaian jantina serta beberapa skandal yang dikaitkan pemimpin parti itu.
Terbaharu, ahli Parlimen Andrew Broad yang menyatakan beliau tidak akan bertanding untuk mempertahankan kerusinya selepas terlibat dalam skandal membabitkan perkhidmatan laman web temu janji “sugar baby”.
Bekas timbalan perdana menteri Barnaby Joyce, yang merupakan pemimpin National, meletakkan jawatan pada Februari selepas bapa kepada empat orang anak itu mempunyai hubungan sulit dengan penasihatnya. – AFP, 20 Januari, 2019
Komen