Menari tak salah, kata Ismail Sabri, tetapi bukan mereka yang berkepentingan


SM Amin

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menari bersama dalam satu acara menimbulkan persepsi negatif terhadap badan kehakiman dan perundangan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2019.

TIDAK menjadi kesalahan bagi sesiapa untuk menari bersama tetapi bukan mereka yang berkepentingan, kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata tindakan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menari bersama dalam satu acara menimbulkan persepsi yang negatif terhadap badan kehakiman dan perundangan negara.

“Ada waktu tertentu mereka berkepentingan misalnya peguam negara akan membawa kes ke mahkamah, dia yang mengetuai kes tersebut.

“Jadi hubungan yang semacam itu walaupun keputusan mahkamah mungkin profesional tetapi (akan menimbulkan) persepsi.

“Sekarang ini orang nampak kalau macam ini boleh ‘kaotim’ (runding belakang) lah lepas ini. Itu pandangan orang ramai,” katanya kepada media ketika berkempen di Cameron Highlands.

Ismail mengulas rakaman video yang menunjukkan Richard, Tommy dan Liew menari dalam satu acara badan kehakiman, yang tersebar semalam dan mendapat perhatian ramai di media sosial.

Video yang tular itu dirakamkan di majlis makan malam pembukaan tahun perundangan 2019 di Kota Kinabalu, kelmarin.

Menurut Ismail, pemisahan kuasa antara tiga cabang kuasa negara iaitu kehakiman, eksekutif dan legislatif mesti sentiasa dijaga.

Jelasnya, cabang kehakiman adalah cabang yang eksklusif di mana hakim perlu menjaga etika pergaulannya terutama di khalayak umum supaya tidak dilihat mempengaruhi keputusan di mahkamah.

“Hakim bukan malaikat, boleh dipengaruhi dengan persekitaran, persahabatan, hubungan baik dan sebagainya.

“Saya harap ketua hakim negara memohon maaf atas tindakan yang sangat tidak wajar itu. Jangan mengulangi kesilapan yang sama. Ya, mereka boleh mengundur diri secara sukarela, kenapa tidak,” ujarnya.

Meskipun mendapat kritikan pelbagai pihak, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin berkata mempertahankan majlis jamuan dan tari menari yang disifatkan beliau sebahagian daripada tradisi guaman.

“Program makan malam dan tari menari yang dipanaskan tak tentu fasal itu hakikatnya sebahagian tradisi (bidang guaman),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  – 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen