MAHKAMAH tertinggi Congo hari ni mengisytiharkan pemimpin pembangkang, Felix Tshisekedi memenangi pilihan raya presiden selepas mengetepikan tuntutan undang-undang pesaingnya.
Mahkamah Perlembagaan ketika mengumumkan keputusan yang ditunggu-tunggu itu berkata, Tshisekedi memenangi pilihan raya berkenaan selepas memperoleh majoriti mudah, sekali gus melayakkan beliau mengambil alih pemerintahan daripada presiden Joseph Kabila pada upacara rasmi Selasa nanti.
Pesaing terdekat, Martin Fayulu menggesa masyarakat antarabangsa menolak keputusan berkenaan sejurus selepas mahkamah memutuskan rayuannya tidak berasas.
“Saya menyeru semua masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf kuasa baharu yang tidak sah ini dalam mewakili rakyat Congo,” katanya merujuk kepada Tshisekedi sambil mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai “satu-satunya presiden mengikut undang-undang”.
Kemenangan Tshisekedi terlebih dulu diumumkan awal bulan ini berdasarkan keputusan pilihan raya wilayah oleh Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya Nasional (CENI) namun dicabar di peringkat tempatan dan luar negara, menyebabkan Kesatuan Afrika merayu keputusan akhir ditangguhkan.
Hari ini Mahkamah Perlembagaan bagaimanapun memutuskan Fayulu gagal membuktikan sebarang kesilapan.
“Hanya CENI berjaya menyerahkan keputusan yang tulen dan telus,” kata hakim Noel Kilomba.
Ratusan penyokong Tshisekedi berhimpun di luar bangunan mahkamah sambil membawa sepanduk di bawah pemantauan polis anti rusuhan. – AFP, 20 Januari, 2019.
Komen