LIMA tahun lalu, Shahrizal Mat Zin mengambil langkah berani melabur sekitar RM50,000 untuk memulakan perniagaan barangan vintaj dan terpakai (bundle).
Kemahirannya dalam urus niaga jam berjenama terpakai serta minat mendalam pada koleksi pakaian bundle membuatkan anak Kampung Pasir, Jalan Klang Lama ini, mahu memiliki kedai sendiri.
Pengalaman lebih 20 tahun dalam pasaran vintaj dan bundle menyebabkan Shahrizal yakin, sudah tiba masa untuk mempunyai kedai sendiri. Sekali gus, mengakhiri era meniaga di tepi jalan sepanjang Pasar Karat Jalan Petaling atau pasar pagi di sekitar Lembah Klang.
Pada 2010, koleksi barangan berjenama terpakai terutama pakaian, jam, cincin dan beg sedang memuncak dan memiliki peminat luar biasa. Baju T berposter band terkenal boleh dijual antara RM80 hingga RM2,000. Makin lama tahun keluaran koleksi yang diperoleh, makin tinggi harga dan banyak peminatnya.
Sehelai seluar jean vintaj, keluaran lebih 25 tahun lalu, berharga antara RM500 hingga RM3,000. Dunia pakaian berjenama vintaj dan bundle memiliki peminat yang sanggup membayar sehelai Levi’s keluaran 1960-an dengan harga RM5,000.
Walaupun Kompleks Campbell di Jalan Dang Wangi dijadikan pusat peminat bundle di Kuala Lumpur, Shahrizal memilih tapak di sekitar Kampung Baru kerana mahukan waktu perniagaan lebih fleksibel.

“Saya pilih kedai di Jalan Raja Muda Abdul Aziz kerana akses peminat bundle ke sini mudah dan boleh berniaga hingga lepas tengah malam, ” kata Shahrizal, yang membuka kedainya Garasi Republik KL dari 2 petang hingga 3 pagi.
Garasi Republik KL antara kedai bundle yang terkenal di Kuala Lumpur, satu antara puluhan usahawan bundle yang hampir 100% diusahakan anak Melayu.
Sejak 2014, Garasi Republik KL memfokuskan perniagaan pada baju jenama RL dan jam koleksi pelbagai jenama. Harga pula sekitar RM100 hingga RM2,000.
Sepanjang dua tahun pertama, perniagaan ini mampu menjana pendapatan purata RM10,000 sebulan. Manakala, khidmat kepakaran Shahrizal membaik pulih jam antik memberikan rezeki sampingan sehingga RM2,500 sebulan.
“Sekarang semua pendapatan merudum teruk. Ada masa jualan harian hanya lepas bayar upah pekerja saja, ” kata Shahrizal.
Perniagaan bundle satu antara sekian banyak segmen peniaga kecil yang teruk terjejas sejak 2015. Pada tahun-tahun selepas itu, hingga sekarang, keadaan jualan tidak pernah pulih. Malah, ramai usahawan bundle memilih menutup kedai.
“Kawan-kawan saya kembali ke jalanan. Menjual di tepi jalan atau jualan pasar pagi saja. Tak perlu bayar sewa kedai, ” kata Shahrizal yang juga mahir dengan barangan motosikal vintaj dekad 80-an.
“Dulu masa awal-awal kelembapan ekonomi, barangan bundle kelas RM1,000 masih laku di pasaran. Sekarang kami peniaga tumpu pada barangan sekitar harga RM50 ke RM200 saja,” katanya.
Shahrizal mengembara jauh sampai ke Aranyaphratet di Thailand, Siem Reap dan Phnom Pehn di Kemboja, Jakarta dan Padang di Indonesia dalam proses mencari barangan terpakai untuk dijual semula.

“Sekarang, nak pergi cari barang pun fikir dua kali. Modal beli barang semua tunai dan kalau pergi jauh mesti bawa balik barang modal sekitar RM5,000. Kalau tak boleh jual, kos terkandas,” katanya.
Di Jalan Raja Bot, setiap Jumaat dan Sabtu malam, lebih 60 tapak di atas kaki lima jalan dibuka untuk peniaga bundle. Ada yang datang sejauh Kota Bharu dan Ipoh. Secara purata, ramai dari sekitar Lembah Klang. Bazar Bundle Malam ini antara alternatif bagi mereka mencari rezeki setelah mengalami kemelut kos menyewa kedai.
Dengan kos sewa tapak RM5 semalam, rakan-rakan Shahrizal yang bermodal lebih kecil membawa barangan untuk dijual secara murah. Satu cara yang diusahakan komuniti ini, setelah barangan bundle berharga mahal tidak lagi mampu dibeli peminat genre ini.
“Kami tiada pilihan. Akhirnya, ramai yang balik ke jalanan kerana tidak mampu menanggung kos sewa kedai, ” katanya.
Bagi Shahrizal, kemahirannya membaik pulih jam antik, kekal membantu pendapatannya, paling tidak untuk membayar sewa kedai, selain mencari pendapatan dengan mula mempromosi barangan Garasi Republik secara online. – 20 Januari, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen