Netanyahu salahkan media, musuh politik berhubung pendakwaan


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa media dan musuh politiknya cuba menekan peguam negara untuk mendakwanya.– Gambar EPA, 20 Januari, 2019

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Sabtu menyiarkan satu klip video yang menuduh media dan pihak berhaluan kiri cuba memberi tekanan kepada peguam negara untuk mendakwanya, menjelang pilihan raya pada April.

Polis mengesyorkan pendakwaan Netanyahu berhubung tiga siasatan rasuah berasingan dan peguam negara dijangka akan mengumumkan keputusannya sama ada untuk mendakwa pemimpin zionis itu dalam minggu ini atau bulan depan.

“Selama tiga tahun, pihak berhaluan kiri dan media cuba memberi tekanan kepada peguam negara untuk memfailkan pendakwaan,” katanya dalam video berkenaan yang dimuat naik oleh Netanyahu menerusi Twitter.

Video berkenaan turut memaparkan rakaman penunjuk perasaan yang membawa sepanduk menggesa Netanyahu dipenjarakan ketika demontrasi di luar kediaman Peguam Negara Avichai Mandelblit.

“Adakah mereka akan berjaya?” katanya pada penutup mesej berkenaan.

Video berkenaan mencetuskan kritikan daripada musuh politiknya.

Kementerian undang-undang menegaskan kepada media Israel bahawa peguam negara tidak akan dipengaruhi dalam keputusannya. – AFP, 20 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen