LETUPAN dan kebakaran di tengah Mexico merekodkan sekurang-kurangnya 67 kematian setakat ini selepas orang ramai membanjiri kawasan letupan untuk mendapatkan minyak ketika kerajaan meningkatkan operasi terhadap kecurian minyak, menurut pihak berkuasa.
Semalam, gabenor negeri Hidalgo, Omar Fayad meletakkan angka kematian seramai 66 orang manakala 76 lagi cedera, namun salah seroang mangsa yang cedera dilaporkan meninggal dunia di hospital.
Mangsa yang cedera termasuk sekurang-kurangnya lapan orang kanak-kanak, salah seorang daripada mereka berusia 12 tahun.
Letupan itu berlaku berdekatan Tlahuelilpan, sebuah pekan yang mempunyai kira-kira 20,000 penduduk yang terletak kira-kira sejam memandu dari Mexico City.
Tentera dilihat mengawal ketat kawasan kejadian yang mana pakar forensik mengenakan sut putih meneliti setiap mayat yang rentung. Beberapa orang awam turut dilihat di lokasi kejadian bagi mengenal pasti ahli keluarga mereka yang hilang.
Ketika petugas forensik cuba memasukkan mayat ke dalam van untuk di bawa ke rumah mayat, kira-kira 30 penduduk cuba menghalang mereka. Mereka menuntut mayat ahli keluarga mereka, dan mengatakan kos untuk rumah mayat terlalu mahal. Mayat itu bagaimanapun terus dibawa ke rumah mayat, kata pihak berkuasa.
Pada Jumaat, pihak berkuasa mendapat maklumat terdapat orang awam cuba membocorkan salupan paip berkenaan sebelum sepasukan tentera terdiri daripada 25 anggota tiba untuk menutup kawasan itu, kata Setiausaha Oertahanan Luis Crescencio Sandoval kepada pemberita.
Namun pasukan tentera berkenaan gagal mengawak kira-kira 700 orang awam—termasuk beberapa keluarga—yang membanjiri kawasan berkenaan untuk mengambil minyak yang tumpah daripada kebocoran itu, menurut saksi.
Pasukan tentera berkenaan bagaimanapun diarah keluar dari kawasan itu bagi mengelakkan risiko konfrontasi ketika letupan itu berlaku, iaitu kira-kira dua jam selepas saluran pipe berkenaan dibocorkan, kata Sandoval. – AFP, 20 Januari, 2019
Komen