Abu Bakar Baasyir bebas bukan sebab politik, kata peguam


Pemimpin Jemaah Islamiyah Abu Bakar Baasyir dipenjarakan sejak 2019 kerana sabitan keganasan. – Gambar fail EPA, 20 Januari, 2019.

PEMBEBASAN Abu Bakar Baasyir minggu ini tiada kaitan dengan unsur politik, kata peguam kepada ulama terkenal Indonesia yang dipenjarakan kerana sabitan keganasan, lapor media di republik itu.

Pembebasan pemimpin Jemaah Islamiyah yang ditahan sejak 2009 itu sebaliknya sudah diusahakan sejak tiga tahun lalu, kata peguamnya Muhammad Mahendradatta.

Menurut peguamnya, Abu Bakar dijangka dibebaskan sebelum ini pada Khamis, selepas menjalani lebih dua pertiga tempoh hukuman penjara 15 tahun sejak 2011.

“Ini masalah undang-undang, bukan politik, apalagi hadiah. Kami tiga tahun lalu sudah berkirim surat, ditanggapi Menteri Pertahanan (Ryamizard Ryacudu) bahawa dia mendukung pembebasan Baasyir.

“Bahkan membuat surat rasmi atas nama menteri pertahanan kepada presiden Republik Indonesia,” katanya, seperti dipetik portal berita Liputan 6.

Kumpulan peguam Abu Bakar juga mengesahkan pihak mereka tidak pernah membuat permohonan pengampunan ke atas ulama itu.

Kelmarin, Presiden Indonesia Joko Widodo membuat kejutan apabila mengumumkan Abu Bakar, 81, akan dibebaskan dari penjara atas alasan kemanusiaan dan keadaan kesihatannya.

Pengumuman itu cepat disambut sebagai langkah politik menjelang pemilihan presiden April ini, terutama dalam suasana politik Indonesia yang sejak beberapa tahun kebelakangan cukup kuat dipengaruhi isu identiti dan agama.

Abu Bakar dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun pada 2011 atas dakwaan menaja kem latihan pengganas di Aceh. Beliau juga didakwa dalang utama serangan bom di Bali pada Disember 2002 yang membunuh 202 orang, 88 daripadanya rakyat Australia.

Berita pembebasan Abu Bakar mendapat reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk keluarga mangsa serangan bom di Indonesia.

Menteri Agama Indonesia Lukman Hakim Saifuddin bagaimanapun berkata Abu Bakar yang akan dibebaskan ini sudah tidak lagi sama seperti keadaannya semasa ditahan dulu.

Beliau juga memberi jaminan pihak berkuasa sangat memahami kesan pembebasan tokoh agama itu sementara beberapa pihak dalam kerajaan menegaskan pembebasan itu bukan bermakna sikap Indonesia terhadap keganasan mula kendur. – 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen