Kereta jadi bom meletup di Ireland Utara


Satu letupan dipercayai berpunca daripada bom kereta berlaku di Londonderry, Ireland Utara. – Gambar AFP, 20 Januari, 2019.

SATU letupan dipercayai berpunca daripada bom kereta berlaku di Londonderry, Ireland Utara dan ahli politik percaya ia ada kaitan aktiviti pengganas.

Jabatan Polis Ireland Utara (PSNI) menerusi Twitter menyiarkan foto di lokasi kejadian yang berlaku di luar bangunan mahkamah dan berkata proses memindahkan orang ramai akan dilakukan susulan penemuan kenderaan kedua.

“Polis sedang berkawal di tempat kejadian di bandar Londonderry. Kami meminta kerjasama orang ramai dan komuniti peniaga serta mengharapkan mereka bersabar sementara siasatan dijalankan,” kata PSNI menerusi Twitter.

Pasukan berkenaan sebelum itu menyiarkan kenyataan berhubung penutupan Bishop Street dan meminta orang ramai menjauhi kawasan itu berikutan penemuan sebuah kenderaan disyaki sebagai bom kereta.

Maklumat awal menyatakan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Ahli politik Ireland turut mengecam insiden itu dan menyifatkan ia sebagai “aktiviti pengganas tidak berguna”.

Bekas menteri pertama Ireland Utara, Arlene Foster yang mengetuai Parti Kesatuan Demokratik berkata, ia tindakan bodoh manakala Menteri Luar Ireland Simon Coveney menggelar kejadian itu sebagai “serangan bom kereta oleh pengganas”. – AFP, 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen