Senator AS mahu putera Saudi bertanggungjawab bunuh Khashoggi


Jamal Khashoggi dibunuh Oktober lalu di Istanbul, mayatnya sehingga kini belum dijumpai. – Gambar EPA, 19 Januari, 2019.

SEORANG senator berpengaruh AS pada Sabtu berkata putera mahkota Arab Saudi bertanggungjawab atas pembunuhan Jamal Khashoggi dan perlu “ditangani”, sambil mengugut mengenakan sekatan baharu.

Lindsey Graham (Republikan) adalah sekutu kuat Presiden Donald Trump, sebelum ini berkata Putera Mahkota Mohammed bin Salman bersubahat dalam pembunuhan kejam Khashoggi yang merupakan wartawan Washington Post pada Oktober lalu.

“Saya sudah menyimpulkan yang hubungan antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat tidak boleh ke depan sehinggalah MBS ditangani,” kata Graham menggunakan panggilan putera mahkota itu.

Graham juga mengugut akan mengenakan sekatan baharu ke atas suspek yang terlibat dalam pembunuh tersebut pada satu sidang media di Ankara.

Negara barat termasuklah AS, Perancis dan Kanada mengenakan sekatan ke atas hampir 20 warga Saudi dalam kes yang menjejaskan reputasi Riyadh di peringkat antarabangsa itu.

“Kami akan mula mengenakan sekatan ke atas mereka yang terlibat dalam pembunuhan En Khashoggi. Kami akan buat kenyataan jelas yang MBS tahu mengenainya dan bertanggungjawab ke atasnya dan akan memulakan siri sekatan,” kata wakil rakyat Carolina Selatan itu.

Turki berkata Khashoggi dibunuh oleh sekumpulan 15 orang perisik Saudi yang mencekiknya ketika lawatan ke konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018 bagi mendapatkan dokumen untuknya bernikah.

Selepas tiga bulan dibunuh, mayat pengkritik lantang Saudi itu masih belum ditemui.

Riyadh menafikan penglibatan putera mahkota dalam kes itu tetapi tragedi itu menegangkan hubungannya dengan Washington.

Awal bulan ini, perbicaraan 11 tertuduh dimulakan di Arab Saudi dan peguam negara mahukan lima daripada mereka dihukum mati.

Graham mengakui beliau pada mulanya “teruja” menyokong Putera Mohammed tetapi menerima yang beliau kini “tersilap”.

“Apa yang berlaku beberapa tahun lepas pendek kata mengejutkan,” katanya.

Graham berkata sekatan itu adalah untuk menghantar mesej yang pembunuhan “bukanlah sesuatu yang anda lakukan jika anda sekutu AS”. – AFP, 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen