Berjimat dengan bergaya, pengguna rela beli baju terpakai


Nabihah Hamid

Baju bundle kin menjadi pilihan ramai berikutan harganya yang murah selain rekaannya yang unik kerana kebanyakannya berasal dari luar negara.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Januari, 2019

DEMI menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, kalangan pengguna memilih pakaian terpakai dikenali sebagai baju “bundle” kerana harga yang murah dan produk yang berkualiti.

Mereka tidak perlu menghabiskan banyak wang untuk bergaya dengan pakaian terpakai berjenama itu yang diperolehi pengusaha tempatan dari luar negara.

Salah seorang pengguna, Iman Ahmad, 24, seorang juruwang sambilan berkata beliau mula minat membeli baju terpakai di kedai sejak habis sekolah.

“Ia murah berjenama dan senang dapat. Lagi pula sekarang ekonomi pun tak berapa bagus dan harga barang pun mahal.

“Baju bundle ini kena pandai pilih. Ada yang masih nampak baru,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di sebuah kedai di Sungai Buloh, Selangor.

Iman Ahmad, 24, seorang juruwang sambilan berkata beliau mula minat membeli baju terpakai di kedai sejak habis sekolah.– Gambar The Malaysian Insight, 20 Januari, 2019

Pemerhatian The Malaysian Insight mendapati pakaian tersebut boleh dibeli dengan harga serendah RM6 bagi baju kanak-kanak manakala RM10 bagi baju dewasa.

Ia turut menjadi pilihan golongan profesional seperti seorang pensyarah Dr Nurul Kharmila Abdullah. Beliau meminat barangan tersebut kerana bermutu dan rekaannya yang unik.

“Baju murah-murah. Kadang-kadang dapat fesyen yang jarang jumpa malah kualiti masih baik. Untuk kegunaan bermusim lebih jimat sebab jarang pakai contohnya baju musim sejuk,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengutamakan kebersihan waktu membeli baju.

Selain pakaian, beg bundle turut dijual dan mempunyai permintaan yang agak tinggi daripada peminatnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Januari, 2019

“Setiap yang saya beli memang (sudah) dibasuh. Saya tiada rasa ragu-ragu dengan baju terpakai. Setakat ini tak pernah jumpa baju yang kotor,” katanya lagi.

Selain itu, ia turut menjadi perhatian pengumpul barangan langka seperti Adam Salleh, seorang perunding takaful dan kewangan.

“Sekarang kalau membeli bukan sebab jenama tetapi, lebih kepada minat mengumpul. Contohnya ada barang yang daripada luar negara tiada di Malaysia seperti beg.

Beliau juga tidak bimbang dengan kesucian barangan terbabit kerana yakin pengusaha telah membersihkan produk terpakai tersebut sebelum dijual.

“Selalunya, peniaga memang dah basuh. Dan kita boleh tengok kebersihannya, jadi tiada masalah,” katanya lagi.

Antara rekaan menarik baju bundle dari Korea yang turut menjadi kegilaan peminatnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Januari, 2019

Kebanyakan pakaian terpakai berkenaan diimport oleh pengusaha dari negara maju seperti Kanada, Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

Seorang pengusaha, Mohd Fairuz Mohd Faizul setiap barangan terpakai yang diperolehinya akan diasingkan mengikut jenis dan dibasuh terlebih dahulu sebelum dijual.

“Baju daripada Jepun kebiasaannya  memang sudah bersih. Tapi apapun kita akan buat saringan dan basuh sebelum dijual.

“Di dua cawangan kedai kami, kami juga akan buat semakan kekotoran dua kali. Semua demi kepuasan pelanggan,” kata Mohd Fairuz, 24 yang mengusahakan kedai Jom Bundle.

Beliau melihat sambutan yang amat memberangsangkan sejak membuka kedai tersebut di Sungai Buloh pada pertengahan tahun lalu.

Pensyarah Dr Nurul Kharmila Abdullah yang turut meminati barangan bundle kerana bermutu dan rekaannya yang unik.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2019

“Sekarang ini memang banyak permintaan dan hasil jualan yang bagus. Allhamdulillah. Sebab produk kita bukan semua barang terpakai, ada yang masih lagi ada tanda harga,” katanya lagi.

Seorang lagi peniaga peniaga Alif Burhan, 24, pula berkata mutu produk yang dibeli itu bergantung kepada nasib kerana mereka membelinya secara pukal dalam karung guni atau kontena.

“Kalau modal kita besar dan barang kita beli banyak cantik, kos setiap helai boleh jatuh berapa puluh sen sahaja. Tetapi ikut nasib juga.

“Kadang-kadang ada juga beli seguni, hanya 20 peratus baju yang elok dan boleh dijual,” katanya lagi. – 20 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen