Faktor umur penentu siapa ketua polis negara yang baharu


The Malaysian Insight

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar bakal bersara pada 5 September biarpun ada usaha di Putrajaya untuk melanjutkan perkhidmatannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2017.

PUTRAJAYA sedang meneliti faktor umur untuk menentukan siapa yang akan dinamakan sebagai ketua polis negara yang baharu kerana Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim dijadual bersara pada Mac 2018.

The Malaysian Insider difahamkan mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis pada 4 September ini akan menimbangkan antara Noor Rashid dan Pengarah Cawangan Khas Komisioner Mohamad Fuzi Harun, yang masih berbaki dua tahun perkhidmatan.

Kedua-dua mereka dimajukan sebagai pengganti Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang bersara pada 5 September biarpun ada usaha di Putrajaya untuk melanjutkan perkhidmatannya.

“Faktor umur merupakan pertimbangan utama terutamanya dengan pilihan raya bakal diadakan dalam masa setahun. Harus ada kesinambungan kepimpinan tertinggi pasukan polis,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Sudah tentu pilihan utamanya ialah Noor Rashid tetapi beliau hanya ada tempoh tujuh bulan sebelum bersara. Sebarang cadangan melanjutkan tempoh perkhidmatan akan nampak tidak adil kerana Khalid pun tidak dilanjutkan,” tambah sumber yang sama.

Khalid diketahui mengintai peluang untuk disambung perkhidmatannya walaupun berkata beliau menunggu masa untuk bersara, selepas tempoh jawatan yang kontroversi termasuk kecenderungannya mengeluarkan arahan menggunakan Twitter sejak jadi ketua polis negara pada Mei 2013.

Seorang lagi sumber kerajaan memberitahu Fuzi ada kelebihan kerana beliau dilantik sebagai pemangku timbalan ketua polis negara selepas Bakri Zinin bersara pada 2014. Pengarah Cawangan Khas itu lama berkhidmat dalam bahagian risikan selama kira-kira 25 tahun.

“Fuzi ada baki dua tahun lagi dengan pasukan, jadi kelebihannya di situ dan akan ada kesinambungan,” kata sumber berkenaan.

Pentadbiran Najib dikatakan cenderung mengekalkan pegawai kanan kerajaan dalam perkhidmatan menjelang pilihan raya umum yang harus diadakan sebelum suku ketiga 2018.

Dua hakim kanan Malaysia – Ketua Hakim Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka selama tiga tahun awal bulan ini walaupun dibantah oleh Badan Peguam Malaysia.

The Malaysian Insight minggu lalu melaporkan Noor Rashid merupakan pilihan pengganti ketua polis negara tetapi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata Suruhanjaya Pasukan Polis akan membuat keputusan akhir.

Beliau mempengerusikan suruhanjaya yang akan menentukan pelantikan pegawai polis.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim dijadualkan bersara pada Mac 2018 menyebabkan Putrajaya meneliti faktor umur bagi menentukan siapa ketua polis negara yang baru. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2017.

Noor Rashid dinamakan sebagai Timbalan KPN pada 3 Disember 2014 manakala Fuzi dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada Julai 2015.

Noor Rashid dilahirkan pada 17 Mac, 1958 dan menyertai pasukan polis pada 1987 sebagai asisten superintenden polis. Beliau merupakan lulusan fizik dari Universiti Malaya.

Pelantikan baru ini berlaku selepas rombakan besar-besaran dalam pasukan polis awal bulan ini apabila sejumlah 74 pegawai ditukar atau dinaikkan pangkat, dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta Jabatan Narkotik menerima pengarah baru.

Rombakan itu dibuat selepas beberapa serbuan yang menyaksikan sejumlah anggota polis ditahan untuk siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa, termasuk dikaitkan dengan kegiatan sindiket jenayah.

Sebelum ini, beberapa negeri termasuk Johor, Selangor, Sarawak dan Negeri Sembilan juga akan menerima lantikan ketua polis baru yang dimaklumkan Khalid sebagai persiapan menjelang pilihan raya akan datang dan Sukan SEA yang sedang berlangsung.

Khalid mula menyertai pasukan polis sebagai inspektor di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur pada 5 Disember 1976, umurnya ketika itu 19 tahun. Beliau kemudiannya lulus ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Khalid dikenali umum sebagai ketua polis yang kerap menggunakan Twitter sebagai saluran komunikasi awamnya termasuk mengeluarkan amaran kepada orang ramai.

Kecenderungannya ini dikritik oleh kelompok aktivis yang menuduh beliau menggunakan Twitter untuk menyekat kebebasan bersuara.

Beliau juga dituduh mempunyai kaitan dengan sindiket bawah tanah sementara anak perempuannya mengendalikan perniagaan senjata di negara ini yang mensyaratkan permit polis untuk seseorang memiliki senjata.

Khalid mengesahkan sebahagian anggota keluarganya mengenali individu yang bernama Gopinathan, lelaki yang disyaki menjadi “orang tengah” utama siasatan rasuah polis bagi melindungi sindiket perjudian dan pelacuran di Melaka.

Kerajaan bagaimanapun membersihkan nama Khalid dan mengatakan beliau tidak ada kena mengena dengan kes itu. — 29 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen