SONY Music memutuskan hubungan dengan penyanyi R Kelly, menamatkan kontraknya dengan anak syarikat Sony, RCA selepas dokumentari disiarkan menuduh penyanyi terkenal itu berulang kali melakukan jenayah seksual, lapor media pada Jumaat.
Laman musik terkenal Variety dan Billboard melaporkan penyingkiran itu, bagaimanapun, Sony Music tidak mengesahkan perkara tersebut apabila dihubungi AFP.
Salah seorang wanita yang menyaman R Kelly, menuduhnya melakukan serangan seksual, menjangkiti dengan penyakit jangkitan seksual dan penahanan salah, juga mendakwa penyanyi itu mengugutnya.
Peguam wanita tersebut, Gloria Allred memberitahu wartawan pada Isnin yang anak guamnya, Faith Rodgers, 20, berdepan “tindakan menakutkan dan serang balas” daripada Kelly sebelum beliau memfailkan saman tersebut yang sedang menunggu giliran bicara di Mahkamah Agung New York.
Dan selepas Rodgers bercakap dalam dokumentari “Surviving R Kelly” yang disiarkan bulan ini, peguamnya mendakwa Kelly dan pasukannya mewujudkan laman Facebook- yang dipadamkan selepas beberapa jam- untuk memburukan nama penuduhnya termasuk Rodgers dengan memuat naik gambar peribadinya.
Tetapi penyanyi yang terkenal dengan lagu “I Believe I Can Fly” itu- yang baharu mengumumkan album terbarunya- menyaksikan reputasinya semakin terjejas.
Wujud desakan awam untuk memboikot kerjayanya, susulan pergerakan #MeToo dan tersebarnya hashtag #MuteRKelly di Twitter.
Mei lalu, Spotify mengumumkan akan memadamkan penyanyi itu daripada senarai lagu untuk pelanggannya.
Dokumentari “Surviving R Kelly” disiarkan pada awal Januari, menampilkan beberapa wanita yang menuduh penyanyi dan penerbit musik berusia 52 tahun itu mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur dan menjadikan wanita sebagai hamba seks. – AFP, 19 Januari, 2019.
Komen