MAHKAMAH AS pada Jumaat mengesahkan penahanan seorang wartawan televisyen Iran, menyatakan keterangan wartawan itu diperlukan untuk kes tidak didedahkan tetapi beliau tidak didakwa atas pertuduhan jenayah.
Iran membuat bantahan rasmi penahanan Marzieh Hashemi, yang dilahirkan di AS dan merupakan pengacara Press TV, stesyen kerajaan berbahasa Ingeris, ketika ketegangan kedua-dua negara semakin memuncak.
Pada pendengaran di Washington, Beryl Howell, ketua hakim mahkamah daerah AS untuk Colombia, mengeluarkan arahan pendedahan sementara tangkapan Hashemi, yang dirujuk sebagai Melanie Franklin, namanya sebelum ini.
Arahan itu menyatakan yang Hashemi ditahan berdasarkan” waran tahanan” untuk sebuah kes di Washington.
Beliau akan dibebaskan serta merta selepas habis memberi keterangan kepada juri agung dalam siasatan tidak didedahkan tentang “pelanggaran undang-undang jenayah AS.”
“Franklin sudah melantik seorang peguam dan tidak didakwa atas mana-mana jenayah,” katanya.
Hashemi berkahwin dengan seorang warga Iran dan memeluk Islam. Beliau menerbitkan dokumentari mengecam dasar AS di Timur Tengah dan layanan negara itu kepada orang Islam dan kulit hitam Amerika.
Beliau ditahan pada Ahad di Lapangan Terbang St. Loius ketika pulang untuk melawat keluarganya, lapor Press TV.
Iran yang selalunya dikecam AS kerana menyekat kebebasan media dan pencabulan hak asasi, berikrar akan membela Hashemi yang dianggap warga Iran kerana perkahwinannya.
Jawatankuasa Perlindungan Wartawan di New York pada Jumaat meluahkan kebimbangan akan penahanan itu, berkata AS perlu mendedahkan sebab wartawan itu ditahan.
Kumpulan itu berkata Iran sedang menahan lapan wartawan kerana tugas mereka.
Dalam sebuah kes paling terkenal, Iran menahan wartawan Washington Post Jason Rezaian selama 544 hari sebelum dibebaskan dalam program perdamaian dilakukan Presiden Barack Obama sebelum ini. – AFP, 19 Januari, 2019.
Komen