SEBUAH kebakaran berlaku di sebuah paip haram di tengah Mexico pada Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya 21 orang dan mencederakan 71 yang lain, ketika kerajaan berusaha memerangi jenayah kecurian minyak.
Berpuluh penduduk tempatan membawa tin dan baldi mengutip minyak yang bocor daripada paip tersebut apabila letupan berlaku, kata saksi.
Video selepas kejadian menunjukkan orang ramai melarikan diri daripada tempat kejadian, menjerit meminta bantuan ketika api marak menjulang tinggi ke udara di Tlahuelilpan, di negeri Hidalgo, hampir 105km utara Bandar Mexico.
Tragedi itu berlaku ketika kerajaan persekutuan sedang memerangi jenayah kecurian minyak, masalah yang menyebabkan Mexico rugi AS$3 bilion pada 2017 sahaja.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador melawat tempat kejadian pada awal pagi Sabtu.
Anggota bomba kerajaan pusat dan negeri serta ambulans milik syarikat minyak Pemex dikejarkan ke tempat kejadian merawat mangsa melecur teruk dan membawa mereka ke hospital.
Puluhan mereka yang cedera kini dirawat di beberapa buah klinik dan hospital bandar tersebut, kata wartawan AFP di tempat kejadian.
Menteri Keselamatan Alfonso berkata kebakaran itu dapat dikawal pada tengah malam.
Mexico seringkali dikejutkan dengan letupan maut disebabkan paip gas haram, perniagaan bahaya tetapi mewah yang melibatkan kartel dadah dan pegawai minyak kerajaan korup.
Tragedi itu berlaku ketika kerajaan berusaha melaksanakan rancangan penghalang kecurian minyak yang kontroversi.
Kerajaan sudah menutup semua paip minyak utama negara itu sehinggalah ia dilindungi sepenuhnya dan menghantar tentera untuk mengawal fasiliti pengeluaran minyak Pemex.
Tetapi rancangan itu menyebabkan masalah kurang bekalan minyak yang sangat teruk di seluruh negara termasuklah di Bandar Mexico apabila rakyat terpaksa beratur berjam-jam- malah ada yang berhari- untuk mendapatkan petrol dan diesel.
Presiden yang mengangkat sumpah pada 1 Disember lalu, berikrar akan terus memerangi masalah tersebut dan meminta rakyatnya bersabar.
Operasi besar-besaran menghalang kecurian minyak itu menyaksikan 1,700 orang disiasat kerana mencuri minyak atau pengubahan wang haram.
Penduduk Bandar Mexico berdepan masalah keputusan bekalan untuk minggu kedua, walaupun barisan menunggu minyak lebih pendek berbanding minggu sebelumnya.
Bank Mexico, Citibanamex menjangkakan pada Rabu yang masalah kurang bekalan itu akan menyebabkan kerugian AS$2 bilion kepada kuasa ekonomi kedua terbesar di Amerika Latin itu. – AFP, 19 Januari, 2019.
Komen