Deposit wang ragu dikesan masuk akaun anak presiden Brazil


Skandal terbaru melibatkan anaknya itu menjejaskan nama baik Presiden Jair Bolsonaro yang naik kuasa kerana janjinya mahu menghapuskan rasuah politik Brazil. – Gambar EPA, 19 Januari, 2019.

PIHAK berkuasa Brazil mengesan siri pemindahan wang tunai meragukan berjumlah sehingga AS$30,000 ke dalam akaun anak lelaki sulung Presiden Jair Bolsonaro, menurut laporan.

Laporan eksklusif yang disiarkan pada Jumaat oleh Jornal Nacional, stesyen televisyen berpengaruh Brazil mendedahkan 48 deposit setiap satu berjumlah 2,000 reai dimasukkan ke dalam akaun bank Senator Flavio Bolsonaro antara Jun hingga Julai 2017, ketika beliau menjadi wakil rakyat Rio de Janeiro.

Jumlah keseluruhan adalah 96,000 reai atau AS$30,000 pada kadar tukaran asing tahun tersebut.

Dokumen Majlis Kawalan Aktiviti Kewangan (COAF) yang dipetik laporan itu berkata asal usul wang tersebut tidak jelas, tetapi fakta yang jumlahnya sama dan dibuat di bank cawangan dewan undangan negeri Rio, tempat Bolsonaro bekerja, mewujudkan keraguan.

Pendedahan itu berlaku sehari selepas Mahkamah Agung Brazil menangguhkan sementara siasatan transaksi ke atas akaun bank pemandu Flavio, Fabricio Queiroz yang berjumlah AS$300,000- jumlah yang dianggap meragukan kerana tak sepadan dengan gajinya.

Salah satu pemindahan tersebut adalah deposit sebanyak AS$6,400 ke dalam akaun Michelle Bolsonaro, isteri presiden.

Flavio dan Queiroz tidak mengaku wujudnya salah laku.

Dalam satu wawancara hujung Disember lalu, Quieroz menafikan bertindak untuk keluarga presiden dan berkata wang tersebut adalah hasil kerja sampingannya, “membeli dan menjual kereta”.

Presiden berusaha mengekang kesan skandal tersebut, berkata jika terdapat “kesilapan” ia akan dibetulkan. Katanya, bayaran daripada akaun Quieroz ke dalam akaun isterinya adalah bayaran pinjaman yang diberikan kepada anak lelaki pemandunya.

Skandal itu mencemarkan imej Bolsonaro yang naik kuasa kerana ikrarnya membanteras korupsi dan menghentikan perang korupsi politik yang berdekad lamanya mengheret negaranya. – AFP, 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen