Pakatan guna projek BN untuk pikat Orang Asli, kata Najib


Christopher Rabin

Najib Razak mendakwa Pakatan Harapan hanya menggunakan projek yang dibuat pentadbirannya untuk meraih undi Orang Asli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Januari, 2019.

PAKATAN Harapan menggunakan kerja yang dilakukan Barisan Nasional sebelum ini untuk meraih undi Orang Asli, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurutnya, ketika pentadbirannya, beliau meluluskan projek untuk Pos Lenjan yang dibatalkan PH sebelum menyambungnya semula, mendakwa ia untuk kebajikan masyarakat Orang Asli.

Beliau juga mengingatkan Orang Asli yang pentadbirannya memperuntukkan RM200 juta untuk mereka bermula pada 2008 hingga 2013, termasuklah pembiayaan projek perumahan Sungai Ruil yang berharga RM44 juta.

“Ini adalah rumah bernilai tinggi yang kerajaan BN berikan percuma kepada anda,” katanya pada satu majlis untuk Orang Asli yang dihadiri hampir 300 orang.

Katanya lagi, Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari ini penting untuk Orang Asli kerana calon BN adalah wakil masyarakat itu, merujuk kepada pesara polis Ramli Mohd Noor.

 “Dia (Rahim) adalah salah seorang Orang Asli. Dia daripada suku Semai. Dia layak dan bekas polis.

“Ini soal kebanggan Orang Asli, dia adalah simbol awak. Jika dia menang, hak anda semua akan terjaga,” katanya.

Pada majlis sama, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan hadirian tentang janji termeterai antara kerajaan BN dan tok batin untuk mendapat sokongan Orang Asli.

“Ketika itu, tok batin datang jumpa saya dan beritahu anda semua tidak mahu apa-apa kecuali jalan raya, mereka beritahu saya jika tak dapat jalan, mereka tak mahu undi BN.

 “Kerana itu BN beri pembangunan untuk Orang Asli di sini. Mereka beritahu saya jika Orang Asli dapat jalan raya, BN akan dapat undi,” kata Adun Jelai itu.

Jelai adalah salah sebuah DUN dalam Parlimen Cameron Highlands.

PRK itu akan menemukan Ramli dengan calon PH M Manogaran dan dua calon Bebas lain. – 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen