PAS perlu henti main isu perkauman di Cameron Highlands, kata Fuziah 


Noel Achariam

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh bersama ketua Dapsy Howard Lee menunjukkan laporan polis yang dibuat hari ini di IPD Cameron Highlands kerana memainkan sentiemn perkauman ketika berkempen.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Januari, 2019

PEMIMPIN PAS diingatkan agar tidak memainkan isu perkauman dan agama ketika memberi ucapan pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands yang sedang berlangsung. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh hari ini berkata, mereka (pemimpin PAS) cuba untuk mendapatkan sokongan orang Islam tanpa mengikut nilai Islam. 

“Apabila mereka (PAS) mengatakan lebih baik memberi undi kepada orang Islam, mereka sendiri menyebarkan pembohongan tentang parti lain. 

“Ini tidak betul dan mereka gunakan taktik kotor dan jijik untuk mendapatkan undi). Pengundi perlu menolak mereka. 

“Jadi jangan bercakap tentang Islam dan meminta pengundi beragama Islam mengundi. Pemimpin PAS fikir mereka lebih mulia daripada orang lain hanya kerana mereka dari parti Islam,” katanya ketika ditemui di Cameron Highlands. 

Terdahulu, sayap DAP, Dapsy membuat laporan polis di Brinchang terhadap Pemuda PAS kerana memainkan sentimen agama dalam kempen mereka. 

Laporan itu dibuat oleh ketua Pemuda Dapsy Howard Lee terhadap Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil kerana menyebarkan pembohongan dan mencetuskan kebencian terhadap Pakatan Harapan dalam ceramahnya di Jelai, semalam.

Lee berkata, Khalil yang merupakan anak kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa DAP cuba mengeluarkan Islam sebagai agama rasmi di negara ini. 

Beliau juga mendakwa, Khalil berkata parti itu telah mengganggu institusi Islam dan institusi diraja sejak mendapat kuasa selepas PRU14. 

“Ini semua pembohongan bahawa DAP dan Pakatan cuba hapuskan Islam sebai agama rasmi di negara ini. 

“Ini merupakan tuduhan yang serius. Ia bertentangan dengan Seksyen 499 Kanun Keseksaan iaitu jenayah fitnah. 
 
“Kami mahu polis siasat perkata ini. Pembohongan yang mereka sebarkan lebih teruk daripada membunuh. 

“Kami berharap tiada lagi ucapan seperti ini,” katanya. – 19 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen