Fokus pada ekonomi, jangan lagakan saya dengan Dr Mahathir, kata Anwar


Bede Hong

Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di Kampung Kerinchi, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Januari, 2019

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim enggan mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa perbicaraan kes liwat pertama Anwar mengikut undang-undang, dan mengatakan negara perlu fokus kepada ekonomi dan bukan dua pemimpin itu.

“Saya tidak akan layan soalan, termasuk dari Malaysiakini atau sesiapa saja atau dari Malaysian Insider atau The Star atau sesiapa sahaja yang cuba membuat pertukaran ini dengan Dr Mahathir,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas merasmikan pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di Kampung Kerinchi, hari ini.

“Kami telah memutuskan untuk bekerjasama dan saya akan kekal begitu dan saya tidak akan timbulkan mengenai perkara ini kerana kepentingan kami adalah negara.

“Keutamaan Malaysia bukanlah Anwar lawan Mahathir sebagaimana yang ada di antara kamu cuba cenderung ke arah itu.

“Keutamaan kami sekarang adalah ekonomi. Rakyat berdepan kesukaran. Kita perlu sokong kerajaan ini walau dalam apa sekalipun untuk menyelesaikan masalah rakyat.”

Dr Mahathir ketika berucap pada Oxford Union awal pagi ini, katanya beliau mengikut kedaulatan undang-undang semasa perbicaraan kes liwat pertama Anwar pada tahun 1998.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir telah menolak bahawa beliau telah melanggar kedaulatan undang-undang ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Beliau telah dibicarakan di mahkamah undang-undang selama sembilan bulan sebelum dijatuhi hukuman penjara,” kata Dr Mahathir.

“Kedaulatan undang-undang mengatakan bahawa jika kamu melakukan sesuatu yang salah, kamu akan dituduh dan dibicarakan di mahkamah undang-undang dan hakim yang akan memutuskan, bukan saya,” tambahnya.

Dr Mahathir sebelum ini menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Anwar merupakan timbalan kepada Dr Mahathir dari 1993 sehingga beliau dipecat pada 1998, selepas dibicarakan dan disabitkan kesalahan liwat dan dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Beliau dibebaskan pada tahun 2004 selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan liwat.

Anwar dipenjarakan kali kedua berhubung kesalahan liwat pada 2015 di bawah pentadbiran Najib Razak dan dibebaskan pada Mei lalu selepas Pakatan Harapan mendapat kuasa. Beliau dijangka akan menjadi perdana menteri seterusnya, berdasarkan persefahaman antara parti dalam Pakatan, namun tarikh peralihan kuasa itu masih belum ditetapkan. – 19 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen