PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menyokong tindakan Putrajaya tidak membenarkan Israel masuk ke Malaysia dengan berkata ia merupakan tindakan wajar untuk membantah kekejaman Israel.
“Saya fikir Malaysia dengan konsisten menyokong Palestin dan saya rasa Kabinet berpendapat ini adalah salah satu cara untuk menyampaikan bantahan kuat terhadap pencerobohan dan kekejaman Israel. Ini keutamaan,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan komen Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa tindakan itu memang wajar, Anwar berkata: ” Sudah tentu. Apa lagi yang boleh kita katakan?”
“Mereka benar-benar tidak menghiraukan tekanan masyarakat antarabangsa. Jadi, saya fikir keputusan perdana menteri itu tepat,” kata Anwar selepas merasmikan pejabat PKR di Lembah Pantai di Kampung Kerinchi hari ini. Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.
Awal hari ini Dr Mahathir ketika ditanya oleh Presiden Oxford Union, Daniel Wilkinson, mengenai tindakan Malaysia melarang atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak pada Julai.
Perenang daripada kira-kira 70 buah negara dijangka akan bersaing dalam kejohanan yang akan diadakan pada 29 Julai hingga 4 Ogos. Ia merupaka kejohanan penting sebelum Sukan Paralimpik Tokyo tahun depan.
“Banyak negara hari ini melihat orang luar datang ke negara mereka, dan ini buatkan mereka tidak gembira. Mereka gulingkan kerajaan kerana mereka benarkan pendatang asing masuk.
“Jadi, sesebuah negara ada hak untuk mengekalkan sempadan kepada orang tertentu, sebab itu ada sempadan. Tetapi di Malaysia, kita sama sekali tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Dan kita rasakan yang mereka lakukan banyak kesalahan tetapi sentiasa terlepas kerana tiada siapa yang berani berkata apa-apa terhadap mereka,” kata Dr Mahathir selepas berucap di Oxford Union yang disiarkan secara langsung di Astro Awani. – 19 Januari, 2019.
Komen