Najib nafi harga projek ECRL melambung


Sheridan Mahavera

Najib Razak menafikan dakwaan media Australia yang kenaikan harga projek disebabkan bayaran kepada perunding dan hutang 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Januari, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menafikan dakwaan terbaharu sebuah akhbar harian Australia semalam bahawa harga projek kereta api mega yang dimulakannya melambung kerana membayar perunding, termasuk ahli perniagaan Low Taek Jho dan membayar obligasi hutang firma kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB ).

“Tidak benar, kami sudah keluar dengan kenyataan,” kata Najib ketika ditanya mengenai laporan The Australian yang kos projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) naik sebanyak RM30 bilion untuk membayar hutang 1MDB.

Laporan itu juga mendakwa kos tambahan ECRL adalah untuk membayar perunding dan membeli lebih banyak syarikat yang dikaitkan dengan Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, bekas rakan sekutu Najib yang dituduh menguasai penyelewengan berbilion ringgit daripada 1MDB.

The Australian melaporkan China Communications Construction Company (CCCC), pemaju projek, diminta menaikkan harga ECRL.

Projek mega ECRL adalah salah satu projek Najib ketika beliau menjadi perdana menteri yang bermula dari Gombak di Selangor melalui Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Haparan memutuskan untuk mengkaji semula projek itu selepas mendakwa kosnya meningkat kepada RM81 bilion. – 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen