KOREA Selatan hari ini menyambut baik sidang kemuncak yang dirancangkan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Ia diumumkan oleh pejabat presiden di Seoul beberapa jam selepas White House berkata Trump akan sekali lagi bertemu pemimpin Korea Utara pada hujung Februari di satu lokasi yang belum diketahui.
Seoul juga berharap sidang itu akan menjadi titik perubahan bagi keamanan di semenanjung Korea.
“Kami mengharapkan sidang kemuncak Utara-AS akan jadi titik perubahan dalam mewujudkan rejim damai yang kekal di semenanjung Korea,” kata jurucakap Presiden Kora Selatan Moon Jae-in, Kim Eui-kyeom.
“Korea Selatan akan terus bekerjasama dengan sekutunya, AS untuk mencapai matlamat penyahnuklearan sepenuhnya.”
Kim juga berkata Seoul akan memanjangkan dialog dengan Pyongyang supaya rancangan untuk mengadakan sidang kemuncak itu berjaya.
Jong Un dan Trump pertama kali mengadakan pertemuan di Singapura pada Jun lepas. Pada pertemuan tersebut, kedua-duanya menandatangani dokumen yang mana pemimpin Korea Utara itu berjanji untuk berusaha ke arah penyahnuklearan di semenanjung Korea.
Bagaimanapun, susulan pertemuan itu Washington menempatkan 28,500 tentera di Korea Selatan bagi latihan ketenteraan. – AFP, 19 Januari, 2019.
Komen