Corak salib di jalan raya Surakarta dipadam dengan cat


Corak marmar yang dikatakan menyerupai lambang salib di Jalan Jenderal Sudirman, Surakarta, Indonesia yang mencetuskan kontroversi di kalangan penduduk Islam. – Gambar Instagram, 19 Januari, 2019.

PEMERINTAH Kota Surakarta akhirnya memilih menutup hiasan corak marmar yang menyerupai salib di Jalan Jenderal Sudirman, di depan Dewan Bandaraya, lapor portal Tempo.com.

Menurut laporan itu, pihak pemerintah mengambil keputusan menutup hiasan marmar di sekitar kawasan Tugu Pamandengan itu dengan menggunakan cat.

Wakil Datuk Bandar Surakarta, Surakarta Achmad Purnomo mengatakan pihaknya bertemu beberapa tokoh agama berhubung isu hiasan menyerupai salib itu.

“Terdapat beberapa pilihan penyelesaian, tetapi kami memerlukan masa untuk membuat keputusan,” katanya kepada Tempo.com.

Justeru, buat sementara waktu, ia memilih untuk menutup hiasan marmar itu dengan cat agar ia tidak menimbulkan sebarang polemik.

Pada masa sama, kerajaan tempatan juga akan mempertimbangkan penyelesaian dan pembetulan kepada reka bentuk.

Achmad menegaskan pihaknya tidak berniat langsung untuk membuat hiasan berbentuk salib dan menjelaskan idea bagi motif corak itu diambil daripada Istana Kasunanan Surakarta.

Menurutnya, kawasan Gladak hingga Tugu Pamandengan mempunyai hubungan istimewa dengan warisan Dinasti Mataram Islam.

Malangnya, rekaan itu pula dilihat berbeza oleh beberapa pihak. “Kerana ia belum selesai,” kata Achmad.

Sementara itu, The Jakarta Post melaporkan pada Jumaat, Datuk Bandar Surakarta, FX Hadi Rudyatmo menafikan terlibat dengan rekaan corak itu.

“Jika saya [merancang] salib di atas jalan, saya akan mengkufuri agama saya sendiri. Salib sangat dihormati oleh orang Kristian. Tiada lambang salib diletakkan di bawah. Semua diletakkan di atas,” kata Hadi, yang juga merupakan seorang Katolik.

Beliau seterusnya menjelaskan dalam Katolik, salib mempunyai keperluan khusus, seperti segi saiz, dan mesti mempunyai gambar Jesus di atasnya.

Tindakan mengecat semula hiasan seperti salib itu dilakukan hampir serentak dengan demonstrasi di depan Dewan Bandaraya.

Ratusan ahli Majlis Syariah Kota Surakarta (DSKS) membantah penggunaan simbol salib seperti itu.

“Kami gembira kerana menerima kepercayaan daripada kerajaan untuk menutup hiasan marmar itu,” kata jurucakap DSKS, Endro Sudarsono dan berharap catnya tidak luntur atau mengelupas. – 19 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen