Ramai penjenayah bebas semasa penutupan kerajaan, kata pendakwa raya AS


Penutupan kerajaan Amerika Syarikat menjejaskan operasi pendakwaan di negara itu kerana berdepan kesukaran mendapatkan bantuan sokongan bagi siasatan kes. – Gambar AFP, 19 Januari, 2019.

PENDAKWA raya di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berkata, siasatan terjejas dan penjenayah bakal terlepas susulan penutupan kerajaan sejak empat minggu lalu.

Masih bekerja walaupun tidak dibayar, kira-kira 6,000 pembantu peguam AS mengatakan banyak perkhidmatan sokongan bagi kes mereka, seperti ujian DNA, tidak dapat diperoleh dan dana yang diperlukan untuk meneruskan siasatan ditahan.

“Keupayaan kerajaan untuk mendapatkan keadilan terjejas dengan penutupan kerajaan,” kata Persatuan Penolong Pendakwa Raya AS (NAAUSA) dalam satu kenyataan.

“Kekurangan dana perjalanan, sebagai contoh, menghalang wawancara oleh agen persekutuan dan pendakwa dengan mangsa jenayah serta saksi,” persatuan itu menambah.

“Ujian DNA, dalam beberapa kes, tidak dilakukan pada masa yang tepat, beberapa sepina perbicaraan tidak disampaikan. Proses penyiasatan jenayah dan panel juri perlahan, sementara pesalah terus bebas.”

NAAUSA berkata banyak penolong pendakwa - yang bekerja di bawah peguam AS di 93 bidang kuasa di seluruh negara - juga sukar melunaskan perbelanjaan mereka sendiri.

Penutupan yang bermula pada 22 Disember selepas Presiden Donald Trump menolak satu rang undang-undang bajet yang hampir dimuktamadkan di Dewan dan Senat, mengatakan ia tidak mengandungi AS$5.7 bilion beliau inginkan untuk membina tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico.

Pada Jumaat terdapat sedikit tanda harapan bagi kebuntuan yang berlaku apabila Demokrat mengatakan Trump harus membenarkan kerajaan dibuka semula terlebih dahulu sebelum berunding mengenai tembok dan dasar imigresen yang lebih luas. – AFP, 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen