SUSANNA Liew, isteri kepada Pastor Raymond Koh yang hilang, percaya masih tiada toleransi agama yang mencukupi di negara ini terhadap penganut Kristian yang masih ditindas secara halus.
Kenyataan ini dibuat walaupun tinjauan World Watch List 2019 menyatakan Malaysia adalah antara tiga negara di dunia yang menunjukkan “petanda harapan” bagi penganut Kristian pada 2019. Malaysia memperoleh kedudukan ke-42 daripada 50 negara bagi kesukaran mempraktikkan agama Kristian.
Mengulas mengenai keputusan kaji selidik, Liew berkata beliau tidak melihat banyak peningkatan, memetik insiden bantahan baru-baru ini di Pulau Pinang di kalangan beberapa kumpulan Islam berhubung lampu salib di sebuah bangunan apartmen.
“Baru-baru ini terdapat isu salib di Pulau Pinang. Ini menunjukkan masih tidak banyak toleransi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Mungkin kita bertambah baik dalam kedudukan kerana tiada siapa diculik baru-baru ini.”
Liew merujuk kepada suaminya Koh, yang diculik oleh sekumpulan lelaki hampir dua tahun lalu. Walaupun siasatan awam dilakukan terhadap kehilangannya, masih tiada sebarang khabar mengenai keberadaannya.
World Watch List 2019 yang dikeluarkan awal minggu ini oleh Open Doors menunjukkan kedudukan Malaysia yang lebih baik.
Namun, Malaysia, yang berada pada kedudukan lebih tinggi 23 tahun lepas, masih tersenarai sebagai negara yang mempunyai tahap diskriminasi “tinggi” terhadap orang Kristian.
Dalam sebuah laporan yang disiarkan dengan pengumuman kaji selidik itu, Open Doors berkata ketika “keamanan dan kestabilan” bagi masyarakat keagamaan dialu-alukan, status Koh yang hilang meninggalkan tanda hitam pada negara.
Liew berkata, bulan depan genap dua tahun Koh diculik dan masih ada jawapan kepada keberadaannya.
“Saya gembira kerana mereka (laporan itu) menyebut mengenai Koh kerana ia adalah kebimbangan serius bahawa tiada apa yang dilakukan,” katanya.
“Kita memerlukan kemahuan politik untuk melihat keadilan dilaksanakan. Dan kami percaya kerajaan baru boleh melakukannya.”
Pastor itu diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lepas oleh kira-kira 15 lelaki menaiki tiga SUV hitam.
Penculikan itu dirakam kamera televisyen litar tertutup dan digambarkan sebagai operasi yang diselaraskan dengan baik.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sedang menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada kehilangan Koh, Pengasas Perlis Hope Amri Che Mat, dan Pastor Joshua Hilmy serta isterinya, Ruth Sitepu, adalah kes kehilangan yang dikuatkuasakan. – 19 Januari, 2019.
Komen