KERJA-kerja pembinaan pelabuhan darat antarabangsa Nepal bermula di Lembah Kathmandu.
Perdana Menteri KP Sharma Oli meletakkan batu asas pelabuhan darat itu di Chovar, Kirtipur, beberapa kilometer dari Jalan Lingkaran di Kathmandu, pada Khamis.
Pembinaan pelabuhan itu diuruskan oleh Lembaga Pembangunan Pengangkutan Intermodal Nepal, sebuah badan di bawah Kementerian Industri, Perdagangan dan Bekalan dengan bantuan dana Bank Dunia.
Menurut agensi berita Xinhua, pelabuhan darat itu dijangka mampu mengurangkan kesesakan di pelabuhan kering sedia ada dan mampu meningkatkan dagangan Nepal ke negara jiran.
“Pelabuhan darat ini akan melonjakkan dagangan kita daripada peringkat sederhana kepada antarabangsa. Ia akan memberi kesan positif, terutama dagangan Nepal-India dan Nepal-China,” kata Perdana Menteri selepas majlis meletakkan batu asas itu.
“Pelabuhan kering itu akan meneroka semua peluang ekonomi dan komersial selain meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi penciptaan peluang pekerjaan,” katanya.
Pelabuhan itu dibina di atas sebidang tanah seluas 11.77 hektar yang disediakan Kilang Simen Himal dengan kos kira-kira 1.48 bilion rupee Nepal (US$13.3 juta).
Ia bakal dilengkapi dengan gudang, tempat parkir, bangunan pentadbiran untuk kastam, kurantin, bank serta pelbagai kemudahan lain.
Pelabuhan itu dijangka mampu menguruskan 600 kontena selain boleh menempatkan sekurang- kurangnya 350 lori.
Ia dijangka mampu menjadi hab perniagaan pada masa depan kerana pelabuhan ini dihubungkan dengan Projek Lebuh Raya yang meghubungkan Kathmandu dengan Terai serta Lebuh Raya Lingkaran Luar yang bakal dibina.
Berucap pada majlis sama, Menteri Kewangan, Yubaraj Khatiwada, berkata pelabuhan itu amat berguna kerana ia mampu menjimatkan masa dan wang.
Ketika ini, 55 peratus daripada jumlah eksport-import Nepal dijalankan di pelabuhan darat Birgunj, lima kilometer dari ibu negara.
Menurut lembaga itu, dua kontraktor akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan serentak bagi memastikan pelabuhan terbabit dapat disiapkan dalam tempoh 18 bulan.
Sejajar dengan pembinaan, kerajaan turut merancang membina sebuah pusat pameran antarabangsa di ibu negara itu. – Bernama, 18 Januari, 2019.
Komen