KOTA raya New York memasuki fasa krisis akibat penutupan kerajaan berpanjangan yang mencetuskan kesan besar terhadap kehidupan penduduk, lapor agensi berita Xinhua memetik Datuk Bandar, Bill de Blasio pada Khamis.
New York akan kehabisan dana andai pejabat kerajaan terus ditutup untuk berbulan-bulan, kata de Blasio pada sidang media.
“Ini bukan krisis yang berlaku dan terus tamat. Malah, ia kini mula memberi kesan bertimpa-timpa.
“Bermula 1 Mac, jika penutupan berterusan bandar raya itu akan hilang AS$500 juta setiap bulan dalam bentuk bantuan kerajaan pusat dan pastinya akan memberi kesan langsung kepada dua juta penduduk New York,” kata Datuk Bandar terbabit.
Beliau berkata, beberapa program termasuk kupon makanan, sarapan sekolah dan bantuan makanan tengah hari serta sistem bantuan perumahan akan terjejas.
“Kita sedang melihat ketika kerajaan persekutuan mula membuatkan rakyat kebuluran,” kata de Blasio.
Bantuan untuk Program Bantuan Makanan Tambahan (SNAP) untuk kira-kira 1.6 juta penduduk miskin akan dipotong jika penutupan berterusan.
Semasa penggal kelima beliau, de Blasio berkata, kota raya itu berdepan serangan pengganas, bencana alam serta cabaran lain dan beliau sering mententeramkan penduduk bahawa ‘keadaan akan kembali pulih’.
“Bagaimanapun, New York tidak pernah berdepan dengan keadan kerajaan ditutup untuk tempoh panjang dan tidak diketahui bila akan tamat.
“Dukacita, hari ini saya terpaksa memberitahu anda, bahawa keadaan tidak OK,” katanya.
Beliau berkata, sumber yang ada begitu pantas habis meskipun bagi kota raya kaya seperti New York disebabkan isu itu amat serius.
Tindakan menutup sebahagian daripada kerajaan berpunca daripada kebuntuan Washington berhubung belanjawan pembinaan tembok sempadan AS-Mexico.
Sejak 27 hari lalu, lebih 800,000 pekerja persekutuan tidak bertugas atau bekerja tanpa gaji.
Seramai 18,000 pekerja persekutuan bertugas di beberapa agensi yang terjejas di New York , kata Datuk Bandar itu. – Bernama, 18 Januari, 2019.
Komen