Bekas calon presiden Singapura tubuh parti baharu


Dr Tan Cheng Bock, 78, merupakan bekas anggota parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan ahli Parlimen dari 1980 hingga 2006. – Gambar fail EPA, 18 Januari, 2019.

BEKAS calon presiden Singapura Dr Tan Cheng Bock mengumumkan kembali menyertai arena politik dan membentuk parti politik baharu.

“Saya membuat keputusan untuk kembali berkecimpung dalam politik selepas lama menyepikan diri,” kata Tan, 78, yang merupakan bekas anggota parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan ahli Parlimen dari 1980 hingga 2006.

Membuat pengumuman itu di laman Facebook, Tan berkata dua hari lalu, beliau seorang daripada 12 individu rakyat Singapura yang mempunyai matlamat sama, memfailkan permohonan dengan Pendaftar Pertubuhan untuk mendaftar parti politik baharu dikenali, Progress Singapore Party. Dua belas individu itu termasuk beberapa bekas kader PAP.   

“Walaupun kami menubuhkan satu parti baharu, kami masih berharap untuk bekerjasama dengan pembangkang yang bersemangat untuk mendahulukan kepentingan negara – sebelum parti atau diri sendiri,” dalam catatannya.   

Pada usia 78 tahun, Tan berkata beliau mempunyai tempoh yang singkat dan beliau bercadang menjadi mentor dan ahli Parlimen masa depan yang akan berkhidmat demi kebaikan negara. 

“Kami mahu membina sebuah negara Singapura yang benar-benar demokratik dan prihatin yang menerapkan nilai-nilai baik dan rakyat diutamakan. Kebebasan untuk memilih dan bersuara tanpa rasa takut mesti dipertahankan,” katanya.

Tan berkata beliau berharap diberi peluang untuk membolehkan Progress Singapore Party menjadi suara alternatif di Parlimen.

“Apabila tiba waktunya, sebaik parti dan calon matang, kami bercadang menerajui negara. Pada masa ini, kami akan bekerjasama dengan mereka yang berkongsi kepercayaan politik iaitu negara didahulukan – sebelum parti atau diri sendiri,” catat beliau.

Tan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2011 dan mendapat undi kedua tertinggi dengan 34.85 peratus, kalah tipis kepada Tony Tan, yang meraih 35.20 peratus. – Bernama, 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen