BERATUS-ratus warga Australia berpakaian hitam berkumpul di Melbourne pada Jumaat bagi menghadiri acara peringatan terhadap mangsa bunuh Aiia Maasarwe yang merupakan warga Israel.
Wanita berusia 21 tahun itu terbunuh ketika pulang dari acara persembahan komedi di Melbourne sejurus selepas tengah malam Selasa.
Tubuhnya ditemui di semak-samun berhampiran stesen trem oleh orang ramai - beberapa jam kemudian pada pagi Rabu.
“Ini satu sebab yang menyedihkan kenapa kita ada di sini hari ini,” seorang lelaki yang menghadiri acara itu berkata kepada stesen berita Channel Seven. “Kita di sini untuk duduk dan berdiri dengan penuh marah di atas apa yang berlaku.”
Seorang wanita yang menahan air mata pada acara tersebut berkata: “Ia sangat sedih, dia kelihatan seperti seorang gadis yang cantik.”
Para hadirin kemudian akan memenuhi 86 buah trem, yang dipercayai dinaiki Maasarwe ketika perjalanan pulangnya, bersama bunga mawar merah yang dilaporkan merupakan bunga kegemarannya.
Ayah Maasarwe, Saeed, telah melawat tempat kejadian jenayah itu pada Jumaat, di mana berpuluh-puluh bunga dan mesej daripada orang awam ditinggalkan di kawasan berkenaan bagi menyatakan sokongan.
“Saya berasa sangat sedih dari satu sudut, tetapi dari sisi lain, apabila mendapat sokongan ini - dari masyarakat, dari komuniti, dan pihak polis - ia menjadikan penderitaan yang saya tanggung rasa terubat sedikit,” katanya kepada pemberita. – AFP, 18 Januari, 2019.
Komen