Rusia kesan 23 pesawat pengintip asing dekat sempadan


Pada November lalu, sebuah kapal terbang tentera laut Amerika, EP-3E dipintas oleh jet pejuang Su-27 Rusia di ruang udara Laut Hitam. – Gambar EPA, 18 Januari, 2019.

RUSIA mengesan 23 pesawat asing terbang berhampiran sempadannya untuk tujuan pengintipan sejak minggu lalu, menurut akhbar pertahanan Rusia, Krasnaya Zvezda pada Jumaat.

Pesawat Russia dikerahkan bagi menghalang kapal terbang asing memasuki ruang udara negara itu, menurut laporan itu sambil menambah, tiada pencerobohan dikesan.

Menurut agensi berita Xinhua, pesawat pengintip asing terbabit dikesan sering terbang dekat sempadan ketika Rusia kerap menyalahkan Amerika Syarikat (AS) dan Nato melakukan aktiviti risikan.

Pada November lalu, sebuah kapal terbang tentera laut Amerika, EP-3E dipintas oleh jet pejuang Su-27 Rusia di ruang udara Laut Hitam.

Tentera AS mendakwa pesawatnya terbang di ruang udara antarabangsa dan menyifatkan tindakan memintas itu tidak selamat.

Kementerian Pertahanan Rusia berkata, jet AS itu terbang berhampiran ruang udara Rusia dan Su-27 mengesan pesawat AS itu “dari jarak yang selamat.”

Sebelum ini, Rusia turut menyalahkan Nato kerana meningkatkan aktiviti pengintipan di rantau Baltic dan Laut Hitam,” menurut agensi berita Rusia, TASS. – Bernama, 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen