PERANAN bank pelaburan Goldman Sachs dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mencerminkan “kegagalan sistem” pada keseluruhan proses kewangan di firma negara yang diselubungi skandal itu, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib, yang merupakan pengasas 1MDB dipersalahkan berhubung skandal firma tersebut oleh kerajaan Pakatan Harapan, mengatakan bahawa apa yang berlaku bukan sekadar kegagalan “satu orang” sahaja.
“Goldman Sachs adalah nama besar dan mereka diberi bayaran yang sangat menarik (untuk menjaga bon) dan mereka sepatutnya melindungi kepentingan kita,” kata Najib kepada wartawan ketika dilihat berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.
Najib juga menolak tuduhan Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon yang semalam mengatakan bahawa salah laku bank itu berhubung dua bon 1MBD enam tahun lalu turut melibatkan beberapa pegawai tinggi kerajaan Malaysia sebelum ini.
“Itu pendapatnya, dia tidak boleh salahkan. Mereka mempunyai tanggungjawab fidusiari, begitu juga lembaga pengarah dan pengurusan. Jika saya melakukan sesuatu yang salah saya akan terima, tetapi seperti yang saya katakan, ia adalah kegagalan sistem.” katanya.
Semalam, Salomon meminta maaf kepada rakyat Malaysia berikutan salah laku beberapa pegawainya dalam skandal 1MDB.
“Sangat jelas bahawa rakyat Malaysia telah ditipu oleh banyak individu, termasuk ahli tertinggi kerajaan terdahulu,” kata Solomon dalam satu panggilan konferens bersama beberapa penganalisis selepas melaporkan pendapatan suku keempat bank pelaburan itu semalam.
Pada bulan November, Tim Leissner, yang pernah memimpin Goldman Sachs di Asia Tenggara, mengaku bersalah melanggar undang-undang anti-rasuah dan undang-undang pengubahan wang haram Amerika Syarikat dan bersetuju membayar ASD43.7 juta (RM184 juta) bagi mengembalikan wang yang diperolehi beliau secara salah.
Seorang lagi pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng atau Ng Chong Hwa, masih dipenjarakan di Malaysia sementara Jabatan Kehakiman AS sedang berusaha untuk mengekstradisi beliau.
Salomon meminta maaf di atas salah laku Leissner dalam permasalahan dan turut menegaskan bahawa Goldman Sachs telah digunakan oleh Leissner dan pegawai kanan kerajaan Malaysia bagi membantu dalang utama skandal tersebut, Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low.
Terdahulu hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menempelak Salomon, dengan mengatakan permohonan maaf atas isu skandal 1MDB itu masih tidak cukup.
Lim berkata bahawa Goldman Sachs perlu mengembalikan ASD7.5 bilion (RM30.87 bilion) kepada kerajaan Malaysia.
“Permohonan maaf tidak cukup. Kami sedang cari semula wang berjumlah ASD7.5 bilion,” kata Lim.
“Adakah Goldman Sachs akan minta maaf jika kita tidak tukar kerajaan pada 9 Mei?”
Lim turut berkata Najib harus berhenti menyangkal penglibatannya berhubung skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara itu.
Najib kini menghadapi 39 jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengan skandal 1MDB. – 18 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan