BADAN Peguam Malaysia menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman yang dibangkitkan dalam saman difailkan oleh anak perempuan Karpal Singh terhadap Ketua Hakim Negara Richard Malanjum.
Dalam saman yang difailkan oleh Sangeet Kaur Deo pada Isnin, beliau berkata saman pemula itu difailkan “susulan pendedahan kegagalannya (Malanjum) setakat ini untuk menyiasat dan menyelesaikan siasatan berkaitan dua tuduhan yang serius terhadap campur tangan kehakiman dalam badan kehakiman Malaysia”.
Sangeet, seorang peguam, juga meminta Badan Peguam “menyatakan pendirian berhubung perkara ini.”
Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varughese hari ini menggesa penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan Sangeet.
“Memandangkan badan kehakiman Malaysia menyatakan (dalam siaran akhbar pada 26 November) ia tidak berhak untuk membuat keputusan yang pasti selepas siasatan dalaman akibat persaraan hakim tertinggi, Badan Peguam Malaysia sekali lagi mengulangi gesaan bagi penubuhan RCI dengan segera,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Varughese juga membincangkan isu itu semasa berucap pada pembukaan tahun undang-undang Sabah dan Sarawak, yang diadakan di Kota Kinabalu hari ini. Turut hadir ialah Malanjum dan hakim kanan lain.
Kes itu, yang difailkan oleh Sangeet, mengenai dakwaan yang dibangkitkan oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mendakwa dalam catatan Facebook pada 22 Ogos tahun lepas bahawa keputusan rayuan kes hasutan Karpal dua tahun lalu diubah disebabkan campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan.
Karpal meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 17 April 2014. – 18 Januari, 2019.
Berita penuh di sini
Komen