LIM Guan Eng menempelak Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon hari ini dengan mengatakan permohonan maafnya berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak memadai.
Mengulas permintaan maaf Salomon kepada rakyat Malaysia semalam berhubung isu 1MDB, Lim berkata Goldman Sachs juga perlu memulangkan AS$7.5 bilion kepada kerajaan Malaysia.
“Maaf sahaja tidak mencukupi. Kami ingin dapatkan kembali AS$7.5 bilion,” kata Lim.
“Adakah Goldman Sachs akan minta maaf jika kita tidak bertukar kerajaan pada 9 Mei?”
Sementara itu, Lim berkata Najib Razak harus berhenti menafikan mengenai skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara.
“Najib berada dalam penafian. Goldman Sachs mengakui mereka ditipu oleh pegawai dan pegawai tertinggi dari Malaysia. Hanya ada seorang sahaja pegawai tertinggi kerajaan.”
“Rakyat Malaysia ditipu dan mengalami kerugian besar dalam skandal ini. Sekarang adakah Najib akan meminta maaf?” Lim menambah.
Semalam, dalam satu kenyataan, Solomon memohon maaf berhubung peranan bank dalam skandal 1MDB.
“Sangat jelas bahawa rakyat Malaysia tertipu oleh ramai individu, termasuk ahli tertinggi dalam kerajaan terdahulu,” kata Solomon pada persidangan dengan penganalisis selepas laporan pendapatan pelaburan bank itu bagi suku keempat.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang pada masa ini berada di Dakar, Senegal turut memuat naik permohonan maaf Solomon di Twitter.
Pada November, Tim Leissner yang mengetuai unit Asia Tenggara Goldman Sachs mengaku bersalah melanggar undang-undang anti rasuah dan pengubahan wang haram Amerika Syarikat (AS) dan bersetuju membayar AS$43.7 juta (RM184 juta) dalam pengembalian keuntungan yang diperoleh secara haram.
Seorang lagi bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng atau Ng Chong Hwa kini berada di penjara Malaysia sementara Jabatan Kehakiman AS meminta beliau diekstradisi.
Solomon meminta maaf atas peranan Leissner dalam perkara itu tetapi mengulangi bahawa Goldman Sachs dikelirukan oleh Leissner dan pegawai kanan kerajaan Malaysia berkenaan peranan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low dalam skandal itu.
“Berhubung peranan Leissner dalam penipuan itu, kami mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” menurut laporan AFP memetik Solomon sebagai berkata.
Reputasi Goldman terjejas apabila dikaitkan dengan skandal itu, tetapi Solomon berkata kesannya terhadap pelanggannya sudah pun “dikurangkan”.
Goldman Sachs melaporkan keuntungan yang lebih baik daripada dijangka walaupun berdepan kos perundangan yang tinggi akibat skandal 1MDB. – 18 Januari, 2019.
Komen