Tindakan SPR tidak selari dengan Perlembagaan, kata Annuar


Noel Achariam

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata berdasarkan rundingannya dengan lima peguam kanan, beliau percaya wajib bagi suruhanjaya itu mempunyai tujuh orang pesuruhjaya. – Gambar The Malaysian Insight Hasnoor Hussain, 18 Januari, 2019.

SEMUA keputusan dan tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengikut Perlembagaan kerana agensi itu kini dikawal oleh seorang individu susulan peletakan jawatan timbalan pengerusi dan lima pesuruhjaya, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Azhar Azizan Harun yang menjadi pengerusi SPR dan pesuruhjaya tunggal selepas Timbalan Pengerusi Othman Mahmood, bersama-sama dengan Md Yusof Mansur, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi dan Leo Chong Cheong meletak jawatan sejak 1 Januari.

Annuar berkata berdasarkan rundingannya dengan lima peguam kanan, beliau percaya adalah wajib bagi suruhanjaya itu mempunyai tujuh orang pesuruhjaya.

“Dengan semangat Perlembagaan, suruhanjaya itu tidak boleh dikendalikan oleh seorang individu sahaja.

“Terutama dalam membuat keputusan besar. Hari ini, mereka akan membuat keputusan untuk menyampaikan writ untuk mengadakan satu lagi pilihan raya. Tetapi, ia adalah keputusannya seorang sahaja,” katanya selepas menghadiri sesi sarapan pagi di Tanah Rata, Cameron Highlands.

“Ini tidak selari dengan Perlembagaan.”

Kenyataan Annuar itu merujuk kepada pilihan raya kecil Semenyih yang akan diadakan selepas kematian Adun Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung.

Awal minggu ini, Azhar berkata beliau mempunyai kuasa menetapkan tarikh pilihan raya untuk PRK Semenyih - yang keenam sejak Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu - dengan ketiadaan anggota suruhanjaya lain.

Annuar memberitahu pemberita hari ini SPR tidak boleh berfungsi dengan hanya satu individu, seperti “Perlembagaan menyatakan ia jelas dan mandatori terdiri daripada tujuh individu”.

“Peraturan berterusan diketepikan dan proses paling dasar untuk pilihan raya dalam sistem demokrasi tidak berlaku.”

Beliau berkata ini adalah bukti Pakatan Harapan mengatasi prinsip undang-undang, dan tidak serius melaksanakan agenda pembaharuan mereka.

“Tidak seorang pun mengatasi undang-undang, tanpa mengira monarki, sultan, perdana menteri atau mana-mana agensi yang mewakili kerajaan,” kata Annuar.

“Ini adalah ciri demokrasi yang penting. Tidak mematuhi segala keperluan asas kepada prinsip undang-undang adalah ancaman kepada demokrasi.” – 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen