Jeneral Korea Utara di Washington mungkin bertemu Trump


Kim Yong Chol, orang kanan kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, tiba petang semalam di Washington. – Gambar AFP, 18 Januari, 2019.

SEORANG jeneral kanan Korea Utara berada di Washington hari ini dalam satu kunjungan yang jarang berlaku, di mana beliau dijangka bertemu Presiden Donald Trump ketika kedua-dua negara mencari kesepakatan untuk memuktamadkan satu sidang kemuncak baharu berhubung isu nuklear.

Kim Yong Chol, orang kanan kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, tiba petang semalam di ibu kota Amerika Syarikat (AS) itu, dalam tindakan terbaru misi berdamai selepas setahun ketegangan antara dua negara.

Perunding Korea Utara itu membatalkan rundingan yang dirancang diadakan di AS – mesyuarat yang dijadualkan dua bulan lalu di New York bersama Setiausaha Negara Mike Pompeo – dan kali ini pentadbiran mengambil langkah berhati-hati dengan tidak mengumumkan lawatan itu lebih awal.

Tetapi sumber dari AS berkata menurut jadual yang tidak diumumkan, Pompeo akan menyambut Kim pada hari ini untuk jamuan makan di Washington sebelum bersama-sama ke White House.

Trump berulang kali menyuarakan keterujaan berjumpa Kim sekali lagi selepas pertemuan bersejarah mereka di sidang kemuncak di Singapura pada Jun tahun lalu, mesyuarat pertama pemimpin dua negara itu yang tidak secara formal mengakhiri Perang Korea 1950-53. – AFP, 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen