WALAUPUN satu kaji selidik baru-baru ini mendapati kaum India lebih banyak berdepan diskriminasi ketika ingin menyewa rumah, tuan rumah lebih memikirkan soal bayaran sewa tepat pada masanya dan bukannya bangsa, kata pemilik dan agen hartanah.
Menurut kajian terbaru YouGov Omnibus, 20% responden Cina mendakwa berdepan diskriminasi apabila ingin menyewa berbanding 18% responden Melayu. Bagi kaum India, 46% responden berkata mereka berdepan diskriminasi.
Bagaimanapun, seorang ejen penyewa dan beberapa pemilik hartanah di Lembah Klang dan Johor menegaskan keutamaan mereka adalah kemampuan penyewa untuk membayar sewa tepat pada masanya dan bukan faktor etnik.
Pemilik hartanah Chen Yao Zong berkata satu-satu perkara yang dipertimbangkan dan kriteria sebelum memilih penyewa ialah pekerjaannya, kerana beliau lebih senang memilih mereka yang mempunyai pekerjaan stabil.
“Saya akui ada meletakkan syarat kepada ejen untuk menyewakan hartanah tetapi bangsa tidak pernah menjadi faktor,” kata Chen kepada The Malaysian Insight.
“Saya tidak mempunyai sebarang syarat khas, selagi sewa dibayar tepat pada waktunya, tiada masalah. Malah, saya tidak perlu bertemu bakal penyewa.”
Chen berkata beliau sedar pemilik hartanah lain yang enggan menyewakan hartanah kepada kaum India tetapi berkata beliau tidak pernah mempertimbangkan soal bangsa bakal penyewa sebelum menerimanya.
“Setakat ini, semua penyewa saya adalah orang Melayu. Mereka membayar sewa tepat pada waktunya, jadi saya tidak perlu risau. “
Seorang lagi pemilik hartanah, Izat Samad berkata selagi penyewa bersetujua dengan bayaran deposit keselamatan sebanyak dua bulan dan pendahuluan bagi sewa bulan pertama, beliau akan menyewakan hartanahnya kepada mereka.
“Hartanah saya di Johor, saya sewakan kepada keluarga Melayu kelas pekerja dari Singapura.
“Mereka yang berkeluarga adalah penyewa pilihan saya kerana mereka akan menjaga rumah dan sanggup membayar deposit keselamatan dua bulan dan sewa bulan pertama,” katanya.
“Saya tidak fikir soal orang Islam atau tidak, walaupun mereka mempunyai anjing peliharaan atau memasak daging babi di rumah sewa, saya tiada masalah. Apabila mereka keluar, saya hanya perlu membersihkan tempat itu.”
Dalam kaji selidik YouGov Omnibus, 60% responden juga bersetuju pemilik mempunyai kuasa mutlak semasa menyewakan hartanah.
Sebanyak 32% responden bersetuju penyenaraian kriteria bagi kaum menjadikan pajakan lebih mudah, sementara 37% bersetuju sebarang kriteria kaum merupakan satu diskriminasi.
Ejen hartanah Amber Realt, ketua eksekutif Ng Hao Do berkata walaupun diskriminasi penyewa wujud, kebanyakan pemilik hartanah biasanya menolak pekerja asing dan penyewa dari beberapa negara tertentu.
Beliau berkata sepanjang tahun beliau menguruskan pembelian hartanah dan perjanjian pajakan, tiada pemilik meminta kaum tertentu.
Walaupun ada pemilik Cina lebih gemar kepada penyewa Cina, ia semata-mata kerana alasan komunikasi, katanya.
Katanya, pemilik yang sama juga biasanya tidak pernah menyatakan mereka tidak mahu penyewa Melayu atau India.
“Bangsa tidak pernah menjadi perkara utama yang dipertimbangkan oleh mereka. Saya sudah menguruskan banyak perjanjian pajakan antara pemilik hartanah Cina dan penyewa berbangsa India,” katanya.
“Kita tidak sepatutnya pukul rasa isu ini. Walaupun ada pemilik hartanah yang mengalami pengalaman buruk, masih ada ramai tuan tanah yang tidak mempunyai masalah dengan penyewa mereka.” – 19 Januari, 2019.
Komen