KELIBAT seekor jerung spesies Great White dipercayai antara yang terbesar pernah ditemui, kelihatan di pantai Hawaii, kata seorang penyelam yang bertembung haiwan pemangsa itu Selasa lalu.
Jerung betina kira-kira 6 meter yang dikenali sebagai “Deep Blue” itu mengejutkan penyelam ketika dilihat bersama sekumpulan jerung lain, sedang makan bangkai seekor paus sperma di pantai Oahu.
“Kami nampak beberapa ekor jerung harimau, sebelum ia muncul menyebabkan jerung lain lari,” kata penyelam Ocean Ramsey kepada Honolulu Star Adviser.
“Gergasi lembut yang menakjubkan ini hanya ingin menggunakan bot kami sebagai tempat menggaru. Kami keluar ke laut ketika matahari terbit dan ia terus bersama kami sepanjang hari,” kata Ramsey.
Ramsey berkata haiwan yang berusia sekurang-kurangnya 50 tahun dengan berat kira-kira 2.5 tan metrik ini sangat lebar dan mungkin bunting.
Jerung Great White jarang dilihat di Hawaii, kerana perairannya yang terlalu panas.
“Deep Blue” yang mempunyai akaun Twitter sendiri dan menjadi subjek dokumentari beberapa tahun lalu, pernah dilihat di sekitar Pulau Guadalupe di Mexico sebelum ini. – AFP, 18 Januari, 2019.
Komen