SATU serangan bom di pusat latihan polis kadet menyebabkan 10 terbunuh dan mencederakan 65 yang lain semalam di Bogota, menjadikan ia insiden terburuk di ibu kota Colombia dalam tempoh 16 tahun.
Kementerian Pertahanan berkata “tindakan keganasan” itu dilakukan menggunakan kenderaan yang diletakkan 80kg bahan letupan.
“Colombia menolak keganasan dan kami bersatu memeranginya,” kata Presiden Ivan Duque di Twitter.
Berjanji untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan, Duque berkata: “Colombia bersedih tetapi tidak akan tunduk kepada keganasan.”
Pengebom itu – disahkan terbunuh dalam serangan itu – menyerang di Sekolah Pegawai Polis General Francisco de Paula Santander di selatan Bogota ketika acara kenaikan pangkat untuk kadet.
Tiada kumpulan mendakwa bertanggungjawab tetapi pendakwa raya Nestor Humberto Martinez menamakan suspek Jose Aldemar Rojas Rodriguez sebagai dalang.
Martinez berkata Rojas Rodriguez masuk ke kawasan sekolah itu pada 9.30 pagi dengan memandu trak Nissan Patrol 1993 berwarna kelabu, tetapi tidak memberi keterangan lanjut.
Katanya, trak itu menjalani pemeriksaan pada Julai di jabatan Arauco di sempadan dengan Venezuela – kubu kuat gerila ELN Marxist. – AFP, 18 Januari, 2019.
Komen