KAZAKHSTAN menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap dua orang lelaki yang dituduh membunuh tokoh sukan Olimpik Denis Ten hari ini, namun keluarganya masih tidak berpuas hati.
Keluarga peluncur itu mendakwa pembunuhan Denis itu diarahkan dan terdapat “pesalah lain yang terlibat.”
Pembunuhan lelaki berusia 25 tahun itu terjadi Julai lalu. Beliau adalah seorang peluncur ais berwarganegara Kazakhstan dan merupakan individu pertama yang memenangi pingat Olimpik di negara bekas Soviet itu di mana beliau diangkat sebagai wira negara.
Pada hari Khamis, sebuah mahkamah di bandar terbesar Kazakhstan, Almaty mendapati Arman Kudaibergenov dan Nurali Kiyasov bersalah membunuh peluncur daripada etnik Korea itu ketika percubaan mencuri cermin dari keretanya.
Seorang wanita juga dihukum empat tahun kerana tidak memberikan maklumat mengenai jenayah tersebut kepada pihak berkuasa.
Zhanar Tolybayeva tahu mengenai jenayah itu, menurut pendakwaan, tetapi gagal melaporkannya.
Pihak pendakwaan memohon hukuman 20 tahun untuk kedua-dua lelaki itu, yang masing-masing berusia 20-an. Mereka tidak mengakui pembunuhan yang disengajakan.
Menurut pendakwa, Ten, yang memenangi gangsa pada Olimpik Musim Sejuk Sochi pada tahun 2014, telah ditikam sebanyak dua kali di bahagian arteri femoral dan meninggal dunia di hospital. – AFP, 17 Januari, 2019.
Komen