EU beri amaran kepada Montenegro berhubung wartawan dipenjara


Jovo Martinovic dianggap sebagai mangsa kebebasan akhbar yang tidak dijaga di Montenegro, dan jika negara masih tidak memulihkan kebebasan akhbarnya, peluang untuk negara balkan itu untuk memasuki Kesatuan Eropah akan rosak. – Gambar AFP, 17 Januari, 2019.

KESATUAN Eropah (EU) memberi amaran kepada Montenegro dan menegaskan bahawa kebebasan akhbar adalah “elemen utama” bagi negara Balkan jika mahu menyertai kesatuan itu. 

Amaran itu tampil selepas seorang wartawan penyiasat yang pernah memenangi anugerah dipenjarakan kerana penyeludupan dadah.

Jovo Martinovic dijatuhkan hukuman penjara satu setengah tahun minggu lalu atas dakwaan mempunyai hubungan dengan lingkaran penyeludupan dadah - yang sebenarnya adalah sumber-sumber bagi laporannya - dan pemenjaraan beliau mendapat kutukan daripada kumpulan kebebasan media Reporters Without Borders (RWB).

Peguam Martinovic berkata beliau akan memulakan proses rayuan, dan jurucakap Suruhanjaya Eropah Maja Kocijancic berkata Brussels mahu beliau diberikan perbicaraan yang adil, di samping memberi amaran bahawa menyekat kebebasan akhbar boleh merosakkan peluang Montenegro untuk menyertai EU.

“Kebebasan bersuara adalah salah satu daripada nilai-nilai asas Kesatuan Eropah dan ia juga merupakan elemen penting dalam proses penyertaan EU di Montenegro, dan dalam konteks ini, para wartawan dapat melaksanakan tugas mereka secara profesional tanpa rasa takut akan akibatnya,” katanya kepada wartawan Brussels.

Martinovic, yang pernah bekerja untuk media antarabangsa utama termasuk BBC dan Financial Times, menghabiskan 15 bulan penjara bagi menunggu perbicaraan mahkamah sebelum dibebaskan setahun lalu.

Dia menafikan tuduhan-tuduhan tersebut dan mengatakan bahawa hubungannya di dengan beberapa penjenayah adalah profesional dalam konteks laporan yang ditulis oleh beliau.

“Pengedaran marijuana tidak masuk akal untuk saya, saya tidak mempunyai motivasi untuk melakukannya, saya memiliki kerjaya antarabangsa,” katanya pada sidang perbicaraan terakhir  Disember tahun lalu.

RWB mengutuk hukuman terhadapnya dan menyifatkan ia sebagai “kekacauan yang mengganggu kebebasan akhbar di negara yang mengatakan ia mahu menyertai Kesatuan Eropah”.

Montenegro berharap untuk menyertai Kesatuan Eropah menjelang tahun 2025 dan kini menghadapi tekanan untuk menangani jenayah terancang dan menjaga kebebasan media.

Selepas seorang wartawan ditembak pada Mei 2018, Brussels memberi amaran bahawa proses penyertaan negara itu ke dalam EU akan “terjejas” jika tidak ada kemajuan dalam usaha melindungi wartawan. – AFP, 17 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen