Kempen PRK Cameron Highlands akan fokus di Jelai, kata Fuziah


Christopher Rabin

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh menjelaskan pimpinan utama Pakatan Harapan akan mengurangkan tumpuan di kawan Tanah Rata sepanjang kempen PRK Cameron Highlands.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2019.

PIMPINAN utama Pakatan Harapan (PH) akan menumpukan kempen dan jenteranya di kawasan Jelai kerana ia masih di bawah pengaruh Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata selaras dengan strategi itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan melawat kawasan tersebut hari ini, manakala Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan ke sana pada 23 Januari.

Fuziah turut berkata fokus akan dikurangkan di Tanah Rata, iaitu sebuah daerah di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chiong Yoke Kong dari DAP, sebaliknya di Jelai, kawasan itu  diwakili Adun BN Wan Rosdy Ismail.

“Seluruh jentera PH akan memberi tumpuan kepada Jelai kerana hari ini, Anwar Ibrahim akan berada di sini.

“Wan Azizah juga akan berada di sini dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga akan turut memberi tumpuan (kempen pilihan raya) di sini juga.

“Kami sudah mempunyai kekuatan di Tanah Rata,” kata Fuziah pada pelancaran slogan PH “Membangun bersama Pakatan” di Sungai Koyan 3 hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Dr Mahathir harus menuju ke Jelai pada 25 Januari depan.

“Oleh kerana Dr Mahathir adalah perdana menteri, butiran lawatannya dijaga rapi oleh kakitangannya, jadi kedatangannya belum dimuktamadkan.

“Tetapi dia (tetap) akan turun. Kami bergantung kepadanya,” kata Lim.

Antara pemimpin lain yang akan muncul dalam kempen Pakatan ialah veteran DAP Lim Kit Siang dan pemimpin Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa, yang dijangka akan berucap di Sungai Koyan malam ini.

Sementara kempen di pihak BN pula, bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berada di Cameron Highlands semalam manakala bekas rakan sekerja dan sepupunya, bekas perdana menteri Najib Razak, memulakan lawatan tiga hari ke Cameron Highlands hari ini untuk turut berkempen bagi calon BN. - 17 Januari 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen